Tak kisah bayar durian mahal

Antara jenama durian berkualiti dijual dengan harga hampir RM400.
A
A

SEGAMAT- Tatkala tibanya musim durian, lambakan gerai buah di bahu jalan di daerah ini pastinya tidak sunyi daripada kedatangan pengunjung.

Meskipun ada harga yang mencecah sehingga ribuan ringgit sekilo, namun itu tidak menghalang pembeli mendapatkan raja buah berkenaan walaupun perlu meredah hingga ratusan kilometer.

Pegawai Pertanian Daerah, Nur Akmal Abdullah, fenomena orang ramai yang sanggup berbelanja besar bagi merasai durian di Segamat ini sekaligus membuktikan tahap kualiti dan pengiktirafan tinggi bagi buah tempatan. Menurutnya, kesan lonjakan harga durian sejak tahun 1950-an terus mempengaruhi kadar nilai buah itu sehingga kini.

“Transformasi penambah baikkan kesan lonjakan harga durian sejak di zaman 1950an sehingga kini kekal konsisten walaupun adakalanya terdapat penurunan disebabkan lambakan dan kurang permintaan. Bagaimanapun ia tidak menjejaskan hasil pekebun yang ketara.

“Penghasilan durian Segamat yang berkualiti ini tidak berlaku sekelip mata. Ia merupakan fasa kajian bersama pekebun, Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA), dan pelbagai agensi berkaitan yang dijalankan sejak puluhan tahun,” katanya ketika ditemui.

Nur Akmal berkata, bagi memudahkan pencarian, pekebun dinasihati agar mendaftar lokasi jenama tanaman durian mereka di Jabatan Pertanian Segamat bagi kemudahan koordinat Lokasi Kedudukan Sejagat (GPS).

"Kemudahan GPS ini bertujuan memudahkan kami mengesan lokasi kedudukan di musim buah itu serta membuat bancian.

Durian Tok Merah menjadi antara pilihan kegemaran pengunjung.
Durian Tok Merah menjadi antara pilihan kegemaran pengunjung.

Di Segamat sebanyak 4,225 hektar keluasan kebun durian yang berdaftar pada tahun lalu dan pengeluaran hasil sebanyak hampir 15 tan durian pelbagai jenama.

“Ada di antara durian pekebun jenis kampung amat berkualiti dibandingkan beberapa durian terkenal bernilai tinggi, namun kerana tidak mendaftar untuk penggredan kualiti, ia tidak menjadi popular di pasaran selain terpaksa menawarkan harga rendah yang merugikan pekebun,” katanya.

Nur Akmal berkata, antara jenama klon boleh diperoleh di Segamat adalah musang king, durian hitam, D168, D24, udang merah selain beberapa jenama dalam proses penjenamaan dan terkini siri D204.

“Rasa pahit, sedikit payau dan melekit selain isinya yang tebal menjadi pilihan pembeli dari luar daerah termasuk eksport ke Singapura serta negeri luar.

“Harga sekilogram durian berkualiti tinggi mampu mencecah puluhan sehingga ratusan ringgit namun ia tetap menjadi pilihan mereka kerana inginkan kelainan rasa.

“Langkah terkini kerajaan mendapat persetujuan Kerajaan China yang bersetuju mengimport durian dalam masa terdekat merupakan berita gembira kepada industri ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu menasihati pekebun dan peraih agar menjaga nama baik durian Segamat dengan menjual harga berdasarkan kualiti isinya bukan bersandarkan berat timbangan sahaja.

Sementara itu, seorang peraih durian di Jementah, Samsuri Ahmad 53, menceritakan pengalaman didatangi pelanggan yang sanggup membeli beberapa biji durian jenama musang king dan durian hitam dengan harga RM1,000.

“Mereka sanggup beli mahal sebab nak cuba macam mana rasa dan kualitinya. Kebiasaannya saya akan buka durian, bagi mereka lihat tekstur isinya.

“Sebagai peraih dan peniaga, saya mahu pastikan isinya berbaloi dengan harga yang dijual sebelum terima bayaran. Nak jual kena jujur, barulah ramai pelanggan ramai datang, Insya-ALLAH," katanya.