Brad Maloney Ketua Jurulatih Skuad B-19 negara?

Brad Maloney
Brad Maloney
A
A
A

PENOLONG jurulatih skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) negara Brad Maloney, dikatakan menjadi pilihan utama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menggantikan Bojan Hodak yang tidak disambung kontrak, sebagai pengendali baharu skuad B-19 negara.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang ditemui pemberita selepas sidang media program Asian Eleven di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini hari ini, bagaimanapun enggan mengesahkan spekulasi tersebut, yang bertiup kencang ketika ini.

Beliau memaklumkan FAM masih menilai beberapa individu lain untuk mengisi jawatan pengendali baharu skuad B-19 negara, yang berhadapan tugas berat untuk membentuk pasukan mantap bagi menghadapi Kejuaraan Bola Sepak Remaja B-18 ASEAN di Vietnam, Ogos ini.

“Kita ada beberapa perkara lagi yang perlu dihalusi dengan calon berkenaan dan selepas itu, baru kita (FAM) akan membuat pengumuman rasmi selain persiapan pasukan ini untuk kejohanan di Vietnam nanti,” kata Stuart.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Maloney yang menjadi pembantu kepada pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee sejak 2014 menjadi pilihan utama FAM susulan kejayaannya membantu skuad berkenaan meraih keputusan positif dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, selain layak ke suku akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (B-23) di China tahun lepas.

Dalam pada itu, pemain skuad B-18 negara, Ali Imran Sukari yang ditemui pemberita selepas sidang media berkenaan, optimis skuad negara mampu layak ke pusingan seterusnya pada saingan di Vietnam, berdasarkan laluan sukar yang perlu ditempuhi mereka pada kali ini.

“Bagi saya, Australia merupakan pencabar utama kita pada kali ini. Kita cuba beri saingan kepada Australia dan beberapa pasukan lain walaupun kita tahu lawan kita pada kali ini agak kuat,” jelas Ali Imran yang merupakan pemain Akademi Mokhtar Dahari.

Malaysia berhadapan laluan sukar pada edisi ke-17 kejohanan berkenaan, selepas diundi menentang juara lima kali, Thailand serta juara empat kali, Australia dalam saingan kumpulan B, bersama tiga pasukan lain iaitu Kemboja, Singapura dan tuan rumah Vietnam.

Artikel Berkaitan:

Enam pasukan pula akan bersaing dalam kumpulan A iaitu Myanmar, Indonesia, Laos, Timor-Leste, Filipina dan Brunei Darussalam.

Untuk rekod, Malaysia muncul juara buat julung kalinya selepas mengalahkan Myanmar 4-3 pada aksi final edisi 2018 di Indonesia. - Bernama