Othman dilantik Pengerusi Suhakam yang baharu

Tan Sri Othman Hashim
Tan Sri Othman Hashim
A
A
A

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah berkenan melantik Tan Sri Othman Hashim sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang baharu.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, Othman dilantik bagi sesi 2019 hingga 2022 selaras dengan subseksyen 6(1) Akta 597.

Pengumuman pelantikan itu turut melibatkan tujuh orang Anggota Suhakam baharu iaitu Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus, Datuk Godfrey Gregory dan Datuk Mah Weng Kwai.

Turut dilantik ialah Datuk Lok Yim Pheng, Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Jerald S Joseph dan Medaline Berma. "Pelantikan ini menurut subseksyen 5 (2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) dan diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Jelas kenyataan itu, pelantikan tersebut berkuatkuasa 27 April 2019 adalah untuk tempoh tiga tahun.

Othman Hashim merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar dan telah bersara pada 2016 selepas selepas lebih tiga dekad berkhidmat.

Beliau memulakan karier sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1979 selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya (UM).

Othman pernah berkhidmat di beberapa negara, termasuk Romania, Switzerland dan Republik Rakyat China pada awal perjalanan karier diplomatiknya.

Artikel Berkaitan:

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland dari tahun 2009 hingga 2012, sebelum ditugaskan di Washington sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat pada 2012.

Othman kemudian dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian pada 1 September 2013.

Beliau berpengalaman mengemudi kementerian dengan jayanya ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN 2015 dan keahlian tidak tetap Malaysia bagi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015 - 2016.