Bersatu lantik Pengerusi Sarawak selepas Perhimpunan Agung

Bersatu
A
A

KUCHING - Bersatu dijangka melantik pengerusi Bersatu Sarawak selepas perhimpunan agung tahunannya pada 28 hingga 30 Disember ini di Putrajaya.

Menurut sumber dalaman parti, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuat pengumuman berkenaan.

“Pelantikan pengerusi akan ditentukan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (PTB).

“Kita tidak tahu siapa yang akan dicalonkan, urusan pemilihan itu akan dilakukan Bersatu peringkat pusat. Kita di sini hanya fokus kepada merekrut anggota sahaja,” katanya di sini, hari ini.

Menurut sumber tersebut, pendaftaran ahli Bersatu yang sah hanya boleh dilakukan menerusi urusetia di setiap zon di negeri ini.

“Di Sarawak kita ada enam zon, jadi mana-mana individu yang berminat untuk mendaftar sebagai ahli Bersatu, boleh ke pejabat urusetia Bersatu.

“Setiap borang keahlian ada nombor siri dan setiap zon mempunyai password yang berbeza untuk pendaftaran ahli Bersatu. Kemudian setelah didaftarkan menerusi sistem dalam talian, kita akan keluarkan satu surat rasmi sebagai bukti keahlian,” ujarnya.

Beliau berkata, setakat ini, Bersatu Sarawak mempunyai 15,700 ahli rasmi yang telah didaftarkan melalui sistem dalam talian.

“Bersatu Sarawak tidak akan menyertai perhimpunan agung tahunan itu memandangkan kami memberi tumpuan untuk mengumpul keahlian. Kami akan menghantar 25 wakil sebagai pemerhati," menurut sumber itu.

Bersatu Sarawak telah dilancar Dr Mahathir di Bintulu pada 1 Disember.- Bernama