Cubaan seludup minyak masak, tepung gagal

Adnan (tiga, kiri) dan Azhari (tiga, kanan) menunjukkan minyak masak dan gandum yang berjaya dirampas.
Adnan (tiga, kiri) dan Azhari (tiga, kanan) menunjukkan minyak masak dan gandum yang berjaya dirampas.
A
A
A
RANTAU PANJANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 berjaya merampas minyak masak bersubsidi berjumlah 6,985 kilogram (kg) dalam dua operasi berasingan di sini semalam.

Operasi pertama di pintu keluar Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS), Rantau Panjang pada jam 12 tengah hari itu, agensi berkenaan telah menemui minyak masak yang dianggarkan seberat 1,105 kg dan 240kg tepung gandum telah disembunyikan di dalam kenderaan menggunakan nombor pendaftaran Thailand.

Pengarah Pejabat KPDNHEP negeri, Adnan Abd Rahman berkata, dalam operasi itu pihak berkuasa berjaya menahan pemandu kenderaan dan pemilik barangan tersebut yang merupakan warga Thailand untuk siasatan lanjut.

"Susulan penahanan itu, anggota bertugas telah melakukan serbuan ke atas sebuah premis di pekan ini yang disyaki menyimpan barangan kawalan melebihi had kuantiti yang dibenarkan," katanya dalam sidang media di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di sini.

Turut hadir Komanden PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi

Menurutnya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan minyak masak yang dianggarkan berjumlah 5,500kg.

Katanya, pemilik barangan tersebut didapati telah melakukan tiga kesalahan iaitu menyimpan stok barang kawalan melebihi had kuantiti yang dibenarkan.

"Selain itu, kita dapati pemiliknya telah menjual barang kawalan kepada orang yang tidak mempunyai lesen dan gagal menyelenggara buku stok dengan lengkap.

"Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan tindakan bawah Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel Berkaitan:

Adnan berkata, KPDNHEP negeri akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan sempadan dalam membanteras aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi ke negara jiran.

Katanya, penyeludupan itu bukan sahaja melanggar peraturan malah menyebabkan rakyat tidak dapat menikmati subsidi diperuntukkan oleh kerajaan.

"Oleh kita amat mengharapkan orang ramai dapat membantu menyalurkan maklumat kepada pihak kami dalam usaha membanteras aktiviti ini.

"Maklumat itu boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatApps (019-2794317) atau Ez ADU," katanya.