Agong sambut baik ASEAN bida penganjuran Piala dunia FIFA

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut baik pengumuman oleh negara anggota ASEAN baru-baru ini yang bersepakat untuk membida bersama penganjuran Piala Dunia FIFA pada 2034.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, Sultan Abdullah menyokong penuh langkah berkenaan dan menantikan untuk mendengar butiran lanjut berkaitan bidaan, serta mengucapkan selamat maju jaya kepada ASEAN, dalam usahanya itu.

Seri Paduka merupakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Naib Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dan anggota jawatankuasa eksekutif FIFA.

"Beta terlibat dengan sukan bola sepak hampir sebahagian besar daripada hidup beta dan memang menjadi satu impian untuk melihat Piala Dunia dianjurkan di tanah air kita. Semasa beta menjadi Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA, beta mengemukakan cadangan supaya bidaan bersama dilakukan dengan negara anggota ASEAN.

“Beta berpendapat ini merupakan peluang yang sangat baik untuk meningkatkan bola sepak kita ke tahap Piala Dunia, bersandarkan kepada motivasi apabila menjadi sebahagian daripada Piala Dunia.

"Sudah tentulah, pulangan ekonomi sahaja amat besar, bukan hanya kepada kita tetapi juga kepada negara berjiran kita. Menganjurkan acara seperti ini semestinyalah akan membawa kepada pewujudan peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur besar-besaran dan meningkatkan kedatangan pelancong.

"Beta turut teruja dengan prospek yang akan memacu pembangunan akar umbi dan pemain bola sepak muda kita ke arah mencapai impian untuk beraksi dalam Piala Dunia,” titah Seri Paduka.

Tahun lepas, Sultan Abdullah bertitah Malaysia boleh menjadi sebahagian daripada negara anggota ASEAN untuk bersama-sama membida penganjuran Piala Dunia FIFA 2034.

Artikel Berkaitan:

Seri Paduka dilaporkan bertitah sudah tiba masanya rantau ASEAN diberi peluang untuk menjadi tuan rumah bersama kerana ia akan membolehkan negara anggotanya menambah baik infrastruktur dan memperkukuhkan pasukan kebangsaan masing-masing.

Pengerusi ASEAN Jen Prayuth Chan o-cha memberitahu persidangan akhbar selepas merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok, Thailand, pada Ahad lepas bahawa kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk melancarkan bidaan bersama bagi menganjurkan Piala Dunia FIFA 2034.

Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, lima negara anggota ASEAN iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam dan Indonesia mencetuskan cadangan itu semasa sidang kemuncak berkenaan. - Bernama