Penang Press Club akan kembalikan wang diterima daripada 1MDB

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Penang Press Club akan mengembalikan wang yang diterima daripada syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) seperti yang didedahkah oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini.

Presidennya, Wong Soon Eng berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat tergempar yang akan diadakan persatuan itu pada Khamis ini.

"Memang sebelum ini ada cadangan dibuat supaya persatuan memulangkan kembali wang berkenaan namun keputusan itu perlu dibuat melalui mesyuarat dan kita akan bincangkan perkara ini pada Khamis depan.

"Kami sedang mencari saluran yang tepat untuk memulangkan semula wang berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini.

Terdahulu, Guan Eng pada satu sidang media di Cyberjaya mendedahkan kesatuan wartawan dan jurugambar akhbar di Pulau Pinang antara pihak yang menerima wang berkaitan 1MDB.

Tanpa mendedahkan identiti penerima wang berkenaan, Guan Eng bagaimanapun menasihatkan mereka supaya mengembalikan wang itu secara sukarela.

"Saya minta mereka yang terima wang daripada Yayasan 1MDB, 1MDB ataupun kelab kebajikan 1MDB dan sebagainya menimbang mengembalikan wang tersebut.

"Jangan tunggu SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) hantar senarai dan bekukan akaun anda," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis jamuan Aidilfitri anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Media Mutiara), Ahmad Zhafaran Mohammed Nasib menegaskan pihaknya tidak pernah menerima sebarang dana daripada syarikat terbabit selama ini.

Menurutnya, sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang bukan bertujuan menjana keuntungan, sudah semestinya Media Mutiara pernah memohon dan menerima dana dari pihak luar untuk menjalankan sesuatu aktiviti.

Namun pihaknya menafikan pernah menerima sebarang peruntukan daripada syarikat 1MDB.

"Kita tidak mahu pihak lain mempunyai tanggapan negatif kepada kami sedangkan penubuhan organisasi ini adalah untuk memperjuangkan kebajikan pengamal media di negeri ini selain kami banyak menjalankan pelbagai aktiviti rekreasi bersama.

"Jika Media Mutiara dikatakan terbabit, kami terutamanya ahli jawatan kuasa kelab sentiasa bersedia dan akan memberi kerjasama sekiranya diperlukan untuk berbuat demikian," katanya.

Jumaat lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan lucut harta terhadap 41 responden di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Permohonan itu melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1MDB.