Geng Ben Tuck tumpas

Mohd Ali (dua dari kanan) menunjukkan pistol dan barang rampasan yang lain di rampas dari geng Ben Tuck.
Mohd Ali (dua dari kanan) menunjukkan pistol dan barang rampasan yang lain di rampas dari geng Ben Tuck.
A
A
A

IPOH - Ketangkasan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berjaya menumpaskan Geng Ben Tuck yang melakukan samun bersenjata di sebuah rumah di Pasir Puteh 3 Jun lalu.

Malah kumpulan penyamun terdiri daripada dua ahli berusia 45 dan 39 tahun itu tidak sempat meraikan wang yang dicuri mereka selepas ditahan polis di kediaman mereka di sebuah kondominium di Pasir Puteh sekitar jam 3.45 petang Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima laporan terdapat sebuah rumah di Taman Pengkalan Putri, Pasir Puteh telah dipecah masuk dua lelaki sekitar jam 5.15 pagi 3 Jun lalu menggunakan sepucuk pistol.

"Menurut mangsa dia mengalami kerugian sekitar RM450,000 membabitkan wang tunai berjumlah RM61,500, barang kemas bernilai RM70,000, sepuluh botol arak berharga RM10,000, dua buah telefon bimbit jenis Iphone 6 dan 8 serta sebuah MPV jenama Lexus dilarikan suspek dalam kejadian tersebut.

"Hasil siasatan dan risikan yang dilakukan anggota IPD Ipoh kemudiannya berjaya menahan dua lelaki dipercayai suspek kes berkenaan di sebuah kondominium yang juga kediaman suspek berusia 39 tahun," katanya kepada pemberita pada sidang media di IPD Ipoh, di sini hari ini.

Menurut Mohd Ali, suspek berusia 45 tahun beralamat di Kampar itu ditahan pihak polis di bawah kondominium berkenaan manakala seorang lagi beralamat di Ipoh ditahan di dalam kediamannya di kondominium sama.

"Semakan rekod lampau juga mendapati suspek berusia 45 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang mempunyai lima rekod jenayah membabitkan satu kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dua kes judi dan dua kes Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Manakala suspek kedua yang bekerja sebagai peniaga itu pula mempunyai satu rekod jenayah di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan dan ujian air kencing yang dijalankan ke atas mereka mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphethamine," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pihak polis juga berjaya merampas sepucuk pistol jenama Steyr Mannlicher dipercayai milik suspek berusia 39 tahun yang dikatakan baharu dibeli beberapa minggu sebelum mereka menyamun di negara jiran dengan harga sekitar RM7,000.

"Kita juga berjaya merampas sebuah Magazine dan di dalamnya mengandungi 14 butir peluru, sebuah kereta jenama Toyota Lexus, Toyota Estima, enam telefon bimbit termasuk telefon milik mangsa, sepuluh botol arak yang dicuri dan sebuah motosikal jenama Yamaha Ego.

"Bagaimanapun, wang tunai yang didakwa mangsa dicuri tidak ditemui kerana suspek mendakwa mereka gagal membukanya lalu dibuang dan lokasi telah ditunjuk suspek bagaimanapun peti berkenaan gagal ditemui," katanya.

Mohd Ali berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan wang tunai terbabit dan kedua-dua suspek direman bermula 23 hingga 28 Jun bagi membantu siasatan.