Samun bersenjata: Dua wanita antara empat ditahan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua wanita antara empat ditahan semalam kerana disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan bersenjatakan pisau serta melarikan kenderaan dengan nilai kerugian dianggar RM60,000 di sebuah rumah di Subang Jaya.

Kesemua suspek warga tempatan berkenaan berumur lingkungan 27 hingga 32 tahun masing-masing ditahan di Senawang, Negeri Sembilan dan Putra Perdana, Puchong, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira 7 malam pada 4 Jun lepas, mangsa menyatakan rumahnya dimasuki dua lelaki.

Beliau berkata dalam kejadian itu, suspek memakai pelitup muka turut mengikat mangsa yang tinggal bersama isteri, ibu dan dua anak.

"Suspek menggunakan pisau menyamun mangsa dan keluarga serta melarikan kereta jenis Honda City yang diparkir di hadapan rumah bersama-sama sejumlah barangan berharga milik mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Wan Azlan berkata, modus operandi suspek ialah memakai pelitup muka dengan mengikat mangsa dan ahli keluarganya menggunakan kabel telefon serta tali pinggang dan kemudian melarikan sejumlah barangan peribadi, barangan berharga serta kenderaan milik mangsa.

Beliau berkata, polis merampas beberapa barangan peribadi yang digunakan untuk kegiatan samun iaitu dua bilah pisau, pakaian milik suspek, satu unit pemutar skru serta sepasang sarung tangan.

Selain itu, barangan milik mangsa yang dijumpai semula ialah barangan peribadi, barangan kemas, telefon bimbit, serangkai kunci rumah dan juga sebuah kereta mangsa.

Turut dirampas adalah sebuah kereta jenis Honda EK yang dilaporkan hilang di kawasan Jinjang, di sini.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dengan kes ini dan kesemua mereka direman selama lima hari bermula hari ini. Selain itu, polis percaya suspek terlibat beberapa kes di kawasan Subang Jaya dan kawasan lain,” katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian samun berkumpulan supaya tampil memberikan kerjasama kepada polis menerusi talian 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau pegawai penyiasat Inspektor G Dinesh 011-33094457. - Bernama