'Rumah kami dah macam pulau'

Dari kanan, Kami, Sahak dan Isnin (kanan) menunjukkan keadaan air parit yang sering melimpah ketika hujan lebat di Kampung Parit Yasin, Benut.
Dari kanan, Kami, Sahak dan Isnin (kanan) menunjukkan keadaan air parit yang sering melimpah ketika hujan lebat di Kampung Parit Yasin, Benut.
A
A
A

PONTIAN - Kira-kira 10 buah rumah penduduk Kampung Parit Yasin, Benut berdepan situasi air termenung apabila air yang melimpah di kawasan kediaman mereka tidak dapat mengalir keluar ke sistem perparitan.

Penduduk, Sahak Ismail, 41, berkata, rumahnya sering dinaiki air memandangkan kedudukannya yang terletak di hadapan tali air utama yang mengalir ke sungai.

Menurutnya, selain faktor tali air tidak diselenggara, sekatan tali air yang dilakukan pekebun sayuran turut didakwa menjadi sebab aliran air tersekat yang mengundang kepada masalah berkenaan.

“Hujan lebat dua minggu sebelum Syawal menyebabkan air parit melimpah sehingga merosakkan tanaman di sekeliling rumah.

“Rumah kami dah macam pulau. Sejak seminggu lepas pula, hujan pada sebelah petang dan air parit melimpah sampaikan laluan masuk rumah penuh air,” katanya.

Kami Sukiran, 70, pula berkata, dia meminta pihak berwajib segera melakukan kerja-kerja mendalam dan menyelanggara sistem perparitan kerana air termenung menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Kawasan kebun nanas ditenggelami air termenung di Kampung Parit Yasin, Benut.
Kawasan kebun nanas ditenggelami air termenung di Kampung Parit Yasin, Benut.

“Sebelum kejadian banjir teruk berlaku, lebih elok langkah pencegahan diambil. Lebih 20 tahun lepas pernah berlaku kejadian banjir besar di mana paras air melebihi paras pinggang.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang ini, penduduk dihantui masalah air termenung. Dengar guruh saja, saya dah mula risau takut banjir memandangkan aliran air parit tersekat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Parit Yasin, Isnin Basri yang turut melakukan tinjauan berkata, terdapat sekurang-kurangnya empat sekatan tali air dibina pekebun sayur bagi tujuan mendapatkan bekalan air.

Selain sekatan tali air, sistem perparitan yang tidak didalamkan dan diselenggara turut mengundang risiko berlakunya kejadian air termenung.

“Isu ini sudah dirujuk kepada Penghulu Mukim Sungai Pinggan. Difahamkan pemberitahuan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah sudah dibuat,” katanya.