Polis buru lelaki memandu dalam keadaan mencurigakan di Kuala Kangsar

No Image Caption
A
A
A

KUALA KANGSAR - Polis sedang memburu seorang suspek lelaki yang melarikan diri selepas cuba ditahan ketika memandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Raja Idris, berhampiran Hospital Kuala Kangsar di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, suspek berumur 27 tahun itu melepaskan diri manakala rakannya berusia 18 tahun berjaya ditahan ketika kenderaan dinaiki mereka terhenti selepas merempuh beberapa kenderaan.

"Dalam kejadian 11 malam itu, kedua-dua suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan menaiki sebuah kereta jenis Honda dan suspek memecut laju kenderaan berkenaan sebaik polis cuba menahan kenderaan itu.

"Kereta dipandu melawan arus menyebabkan anggota polis yang melakukan rondaan mengarahkan mereka berhenti, namun suspek memecut sehingga kereta itu melanggar beberapa kenderaan lain termasuk motosikal sebelum akhirnya terhenti," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, siasatan polis mendapati suspek yang melarikan diri itu mempunyai 15 rekod jenayah lampau berkaitan samun, curi kereta dan pecah rumah, manakala rakannya tidak mempunyai rekod jenayah tetapi positif dadah.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis sahkan tiada insiden berbalas tembakan

"Pemeriksaan polis dalam kereta Honda menemukan sepucuk pistol palsu, sejumlah kecil dadah jenis ganja serta syabu selain vest polis dan dipercayai mereka merancang melakukan jenayah.

"Suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: