Tiada keperluan tubuh RCI kes Adib: Zuraida

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada keperluan buat masa ini untuk kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana inkues berhubung kes kematian Muhammad Adib, yang bermula sejak Februari lalu, sedang berjalan dengan baik.

"Saya rasa tidak perlu RCI buat ketika ini kerana prosiding kes berjalan dengan baik dan kita tunggu keputusan koroner," katanya ketika mengulas desakan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) semalam agar kerajaan menubuhkan segera RCI dengan alasan inkues yang sedang berjalan sekarang diragui ketelusannya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di ibu pejabat jabatan itu, di sini hari ini.

Mengenai pelantikan peguam baharu mewakili kementerian itu dan JBPM dalam inkues Muhammad Adib, katanya, beliau akan menyemak dengan Peguam Negara, Tommy Thomas, bagi mengetahui nama yang dicadangkan.

Pada 27 Mei lalu, peguam Syazlin Mansor, yang mewakili keluarga Muhammad Adib, kementerian dan JBPM menarik diri daripada inkues itu tetapi pada 12 Jun lalu, beliau mengumumkan untuk kembali mewakili keluarga Muhammad Adib. - Bernama

Artikel Berkaitan: