Diskaun 10 peratus di tol Karak, LPT sempena Krismas

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK) dan Lebuh raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), Anih Berhad mengumumkan diskaun tol 10 peratus untuk semua kelas kenderaan sempena cuti Krismas.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, diskaun tol itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 24 jam pada 25 Disember ini.

“Diskaun tol ini sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat sejak 2011 bagi menghargai pengguna lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, konsesi turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna untuk merancang perjalanan ke negeri di pantai timur sempena cuti perayaan Krismas.

“TTA ini disediakan untuk membantu menyuraikan trafik dan mengurangkan kenderaan bertembung di plaza tol pada waktu puncak secara serentak khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak hingga menyebabkan kesesakan.

“Pengguna boleh mendapatkan jadual TTA di laman web ANIH Berhad atau mengikuti Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur,” katanya.

Nik Fauzi berkata, pengguna dinasihatkan untuk memastikan baki kad Touch ‘n Go dan eWallet RFID mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

“Perkhidmatan tambah nilai kad di lorong tol akan ditutup sekiranya trafik padat bagi mengelak berlakunya kesesakan di plaza tol dan pembelian kad serta tambah nilai boleh dibuat di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) di plaza tol.

Artikel Berkaitan:

“Plaza tol terbabit ialah Gombak, Bentong, Karak, Temerloh dan Kuantan dari jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari atau di kios layan diri di hentian sebelah Gombak (arah barat), Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah, Temerloh (arah timur dan barat) dan Gambang,” katanya.