Dua polis trafik dilanggar pemandu 'lalok'

Hasnol yang cedera dilanggar mendapat bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian pagi tadi.
Hasnol yang cedera dilanggar mendapat bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian pagi tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua anggota polis trafik cedera selepas dilanggar sebuah kereta dinaiki sepasang suami isteri dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika melakukan sekatan jalan raya di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 15, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, Koperal Hasnol Abdul Ghani, 55 dilanggar seorang suspek lelaki dan seorang suspek perempuan yang menaiki kereta jenis Proton Gen2 semasa sedang bertugas kira-kira jam 10.59 pagi.

Beliau berkata, manakala Koperal Ahmad Haizaki Abd Ghani, 35, pula cedera dilanggar ketika mengejar suspek berkenaan.

Baharudin melawat Hasnol yang cedera di Hospital Shah Alam hari ini. Gambar kanan: Hasnol yang cedera dilanggar dalam sekatan jalan raya pagi tadi terbaring di jalan raya ketika menanti kehadiran ambulans.
Baharudin melawat Hasnol yang cedera di Hospital Shah Alam hari ini. Gambar kanan: Hasnol yang cedera dilanggar dalam sekatan jalan raya pagi tadi terbaring di jalan raya ketika menanti kehadiran ambulans.

"Dalam kejadian itu, pasangan berkenaan cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya yang kemudian telah melanggar seorang anggota trafik bertugas mengakibatkan beliau cedera di leher dan kaki.

"Susulan itu, seorang anggota trafik yang lain kemudian mengejar pasangan berkenaan semasa cuba menahan suspek, beliau turut dilanggar sehingga cedera pada kaki kiri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Beliau berkata, pasangan berkenaan yang berumur 22 tahun itu berjaya ditahan di Bulatan Andalas Seksyen 18 dan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

“Siasatan mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine dan suspek wanita juga sedang mengandung,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika ditemui di Bahagian Kecemasan Hospital Shah Alam berkata, kedua-dua anggotanya itu mengalami kecederaan serius tetapi stabil.

Katanya, siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.