Syabu bernilai RM27.8 juta dirampas

Noor Azam (tiga,kanan) menunjukkan dadah syabu yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah teres di Subang Mewah Jumaat lalu.
Noor Azam (tiga,kanan) menunjukkan dadah syabu yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah teres di Subang Mewah Jumaat lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Subang Mewah Jumaat lalu dan merampas syabu seberat 556.2 kilogram yang dianggarkan bernilai RM27.8 juta.

Siasatan polis mendapati rumah berkenaan baharu disewa 18 hari untuk dijadikan stor simpanan bahan terlarang itu.

Polis membongkar taktik sindiket selepas melakukan serbuan ke rumah itu pada jam 3 petang dan memberkas dua anggota sindiket, masing-masing berumur 18 dan 28 tahun, yang bertindak sebagai penjaga rumah berkenaan.

Dua lelaki itu dipercayai memperoleh upah sebanyak RM10,000 seorang dan akan menghantar bekalan dadah itu selepas mendapat pesanan.

Dadah jenis syabu dibungkus dalam bungkusan teh cina.
Dadah jenis syabu dibungkus dalam bungkusan teh cina.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, ketika serbuan dijalankan, polis menemui 542 bungkus dadah itu dalam bungkusan teh cina dengan tujuan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kita temui 85 bungkus dadah di ruang tamu dan 455 bungkus lagi di dalam kereta Toyota Alphard yang disewa.

“Kita percaya dadah ini untuk pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang, Johor dan luar negara seperti Taiwan, Korea, Indonesia dan sebagainya. Dadah ini juga boleh dipasarkan kepada 2.7 juta orang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Artikel Berkaitan:

Noor Azam berkata, siasatan mendapati suspek berusia 28 tahun itu memiliki lapan rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Sebuah kereta Proton Exora turut disita untuk siasatan,” katanya.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.