Nama Adib diabadikan di tugu peringatan bomba

Md Ali meletakkan tanda nama Muhammad Adib untuk diabadikan di tugu peringatan itu.
Md Ali meletakkan tanda nama Muhammad Adib untuk diabadikan di tugu peringatan itu.
A
A
A

KUALA KUBU BHARU - Nama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim diabadikan di Tugu Peringatan Fallen Heroes, petang tadi.

Tugu yang terletak di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah mengabadikan senarai anggota seluruh negara yang terkorban ketika berkhidmat.

Muhammad Adib, 24, merupakan Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya cedera parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian di sebuah kuil, 27 November lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Komandan ABPM Wilayah Tengah, Md Ali Ismail berkata, tugu peringatan itu adalah cetusan idea Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Muhamad Hamdan Wahid.

Menurutnya, ia dibina oleh pelatih Kursus Diploma Sains dan Kebombaan (KDSK) Siri 1 dan dirasmikan Muhammad Hamdan ketika menyempurnakan majlis penutup kursus berkenaan pada September lalu.

"Terdapat 23 anggota bomba terkorban ketika bertugas di seluruh negara yang direkodkan sejak 1993 dan nama mereka diabadikan di tugu peringatan ini.

"Allahyarham Muhammad Adib adalah yang ke-24 selepas enam anggota terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di sebuah lombong di Puchong pada 3 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

"Tugu peringatan ini juga dibuka untuk kunjungan orang ramai sebagai tanda ingatan dan menghargai pengorbanan anggota bomba terbabit," katanya.

Md Ali berkata, majlis tahlil buat Allahyarham Muhammad Adib turut diadakan sebelum acara ringkas meletakkan tanda nama itu.