Penagih dadah perlu dirawat bukan dihukum

PUTRAJAYA - Penagih dadah di negara kini tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah yang perlu dihukum sebaliknya pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan.
Takrifan itu dicapai susulan perbincangan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan di KDN di sini hari ini yang bersetuju untuk melaksanakan 'decriminalization' ke atas penagih dadah.
Bercakap kepada pemberita selepas perbincangan itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelaksanaan 'decriminalization' itu akan melibatkan program rawatan dalam komuniti dengan memperkasakan peranan ahli keluarga dan masyarakat.
“KDN akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam program harm reduction melalui terapi dadah gantian methadone dan joint management kes-kes dual diagnosis yang dijalankan oleh Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Tampoi dan Hospital Permai di Johor,” katanya.