Nasrudin akui belajar banyak perkara

Nasrudin
Nasrudin
A
A
A
KUANTAN - Pengalaman sebagai Ketua Penerangan Pas selama empat tahun telah mematangkan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan untuk terus menggalas amanah parti.

Beliau yang dipilih membarisi kepimpinan baharu untuk sesi 2019/2021 pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-65 yang berakhir semalam turut yakin meneruskan perjuangan parti untuk berdepan cabaran mendatang.

Menurutnya, sepanjang dua sesi sebagai Ketua Penerangan Pas, banyak perkara yang dipelajari.

“Banyak yang saya dapat belajar namun apa yang saya mampu lakukan bagi menyumbang kepada perjuangan Islam ini masih kecil.

“Itulah yang paling mengganggu dan tentunya saya sangat sedih apabila memikirkan segala ketidakupayaan diri untuk menggalas amanah parti,” katanya.

Nasrudin berkata, beliau berdoa agar Pas meneruskan cabaran perjuangan Islam melalui saf kepimpinan yang hebat.

“Perjuangan Islam ini akan terus dipacu maju oleh tokoh-tokoh baru yang memiliki ilmu, karisma dan saksiah yang tinggi,” katanya.

Beliau mewakili seluruh warga kerja penerangan Pas sesi 2017-2019 memohon maaf kepada semua, khasnya pucuk pimpinan parti atas kekurangan sewaktu mengendali Lajnah Penerangan Pas di semua peringkat sepanjang tempoh itu.

“Terima kasih juga buat rakan-rakan media yang tidak jemu memberi liputan dan mengangkat berita Pas kepada awam meskipun sesekali dilaporkan secara negatif .
Artikel Berkaitan:


“Kami tetap menghargainya. Terima kasih juga buat pejuang-pejuang di alam siber yang sangat banyak membantu penerangan Pas. Semoga ALLAH mengampunkan kesalahan semua dan mengurniakan kekuatan kepada kita untuk meneruskan perjuangan suci ini,” katanya.

Sementara intu, Nasrudin turut mengucapkan tahniah kepada Kamaruzaman Mohamad yang diamanahkan sebagai Ketua Penerangan Pas Pusat baharu.

“Saya mengenali beliau sebagai seorang tokoh pejuang yang gigih, tekun dan patuh pada arahan dan berani mendepani cabaran.

“Di sebalik kejayaan beberapa program besar anjuran Pas yang saya diamanahkan sebagai pengerusi atau pengarah program, beliau antara faktor kejayaan tanpa menafikan figura lain yang turut membantu menjayakannya. Justeru posisi penerangan ini sangat sesuai untuk beliau,” katanya.