PH berdepan defisit kepercayaan rakyat

Najmil Faiz
Najmil Faiz
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini berdepan dengan defisit sokongan dan kepercayaan rakyat kerana terlalu banyak kelemahan dan kerosakan dilakukan sejak memegang tampuk kerajaan pada 9 Mei tahun lalu.

Exco Pemuda Umno, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, rakyat tertanya-tanya apakah hala tuju negara dan nasib rakyat setelah terlalu banyak kepincangan dibuat sedangkan PH bukanlah kerajaan yang mampu membela nasib rakyat, sebaliknya rakyat merasakan semakin terbeban dengan tiadanya pembelaan daripada kerajaan.

“Sejak dari awal, mereka bukan sahaja gagal melaksanakan manifesto dijanjikan, malah merosakkan institusi pentadbiran awam yang selama ini menjadi elemen semak dan imbang seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui lantikan politik.

“Peranan SPRM dimanipulasi dan dicabul kerajaan sebagai instrumen untuk melemahkan UMNO. Ketidaktelusan kerajaan dalam konsep ‘rule of law’ dapat dilihat apabila tiada perkembangan dalam kes rasuah pemimpin DAP dalam projek terowong Pulau Pinang dan kes rasuah dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR seperti yang dilaporkan Rafizi Ramli,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kestabilan ekonomi juga menjadi taruhan apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan akan menjual lagi aset penting negara dan berlakunya penurunan taraf Petronas oleh Moody's Investors Service daripada A1 kepada A2 yang mengubah unjuran kepada ‘stabil’ daripada ‘negatif’ serta peningkatan hutang negara yang drastik.

"Risiko kepada ketidakstabilan ekonomi berlaku sejak Mei 2018 apabila rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh teruk daripada AS$109.4 bilion kepada AS$102.1 bilion pada Januari 2019. Bloomberg pula menggelarkan saham Malaysia sebagai paling corot di dunia.

“Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Teo Nie Ching yang mahu semua bangsa memberi cadangan untuk penambahbaikan mata pelajaran Pendidikan Islam sekolah rendah menimbulkan kerisauan dan kegusaran masyarakat Islam di negara ini. Hal ini jelas melanggar ketinggian Perlembagaan Persekutuan dan kesucian Islam sebagai agama rasmi,” katanya.

Najmil Faiz berkata, paling menyedihkan dan mengecewakan ialah kerajaan tidak menawarkan program biasiswa MyBrain15 pada tahun ini yang menjadi bantuan kewangan utama kepada para graduan untuk menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana dan PhD.

Artikel Berkaitan:

"Sedangkan pada tahun 2016, semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional, hampir 20,000 calon menerima biasiswa sebagai langkah kerajaan untuk meningkatkan jumlah golongan intelektual di negara ini.

“Terlalu banyak kelemahan dan kerosakan dilakukan Pakatan Harapan untuk disenaraikan yang dilihat semakin menggadaikan masa depan negara dan rakyat. Ke manakah hala tuju negara dan nasib rakyat Malaysia di bawah Pakatan Harapan?,” katanya.