X

Kindly register in order to view this article
!

Satu kematian dicatat akibat denggi

Program Gotong-royong Membasmi Denggi di Taman Sri Sentosa Pekan Nanas, hari ini.
A
A

PONTIAN - Satu kematian dicatatkan akibat denggi melibatkan Pekan Nanas bagi kawasan Zon B yang terletak di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Nanas.

Pegawai Kesihatan Daerah Pontian, Dr Surinah Asan berkata, kematian itu dilaporkan pada 12 Jun lepas melibatkan seorang mangsa berusia 48 tahun.

Katanya, pemeriksaan lanjut di kawasan kediaman mangsa mendapati jirannya yang merupakan warga emas berusia 76 tahun turut dijangkiti demam denggi.

Selain itu, empat pelajar dari SMK Dato Yunos Sulaiman Pekan Nanas yang tinggal di Taman Sri Sentosa Pekan Nanas turut mengalami demam denggi pada 17 Jun lepas.

“Pada tahun 2019, terdapat peningkatan kes demam denggi di seluruh negeri Johor. Sehingga 8 Jun 2019, Johor mencatatkan sebanyak 4388 kes dengan 12 kematian.

“Bagi daerah Pontian sebanyak 62 kes telah dilaporkan dan 61 peratus (38 kes) adalah dari kawasan Pekan Nanas. Kawasan ini juga telah mencatatkan 4 kejadian wabak pada tahun ini,” katanya.

Menurut Dr Surinah, jabatan kesihatan daerah memandang serius peningkatan jumlah kes denggi yang dicatatkan berlaku di kawasan perindustrian dan perumahan penduduk.

“Sehingga kini, sebanyak 38 kes denggi dilaporkan di Pekan Nanas yang mana kejadian wabak ini kebanyakkan dikesan berlaku di kawasan Perindustrian Pekan Nanas, Zon A dan Zon B.

“Zon A dan B yang mempunyai banyak kawasan perumahan antaranya Taman Sri Sentosa, Taman Bungai dan Taman Teratai,” katanya ketika ditemui pada Program Gotong-royong Membasmi Denggi di Taman Sri Sentosa Pekan Nanas, hari ini.

Program disertai kira-kira 50 penduduk di sekitar Pekan Nanas itu turut dihadiri ADUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong.

Dr Surinah menambah, penduduk yang tinggal di kawasan wabak perlu membersihkan kawasan rumah masing-masing dan menghapuskan bekas-bekas yang boleh menakung air.

Jelasnya, sewaktu gotong-royong dilakukan terdapat banyak plastik dan bekas-bekas mempunyai takungan air terdapat di luar rumah penduduk.

“Gotong-royong pada hari ini (semalam) lebih tertumpu kepada mencari dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk di kawasan rumah terbiar dan tempat yang mempunyai air bertakung.

“Pemeriksaan jentik-jentik turut dilakukan, mana-mana rumah yang didapati positif iaitu ada jentik-jentik (positif tempat pembiakan) akan dikenakan kompaun,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus