Veteran mahu ahli kekal bersama parti hingga akhir hayat

Subky Abdul Latif
Subky Abdul Latif
A
A
A

KUANTAN – Veteran Pas berikrar akan mentarbiah ahlinya supaya tidak keluar parti dan kekal bersama sehingga akhir hayat.

Pengerusi Assabiqun (Veteran) Pas, Subky Abdul Latif mengharapkan semua ahli yang masuk parti itu, tidak akan meninggal dunia di luar Pas.

“Veteran akan merangka gerak kerja untuk tempoh 20 tahun akan datang ini bagi mengelakkan ahli Pas keluar parti, dan mungkin juga boleh berfikir untuk kembalikan mereka yang meninggalkan Pas.Tapi saya rasa sekarang ini, tidak ramai dah orang yang keluar tinggalkan Pas.

“Oleh itu, perhatian veteran sekarang yakni memikirkan cara bagaimana supaya semua orang Pas berazam, bercita-cita untuk meninggal dunia dalam Pas dan tidak ada lagi orang yang masuk Pas meninggal dunia di luar Pas,” katanya dalam ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan Pas kali ke-65, di sini, hari ini.

Subky juga mahu gabungan yang bersama Pas seperti Dewan Himpunan Penyokong Pas ( DHPP) turut meninggal dunia dengan status penyokong Pas.

“Oleh kerana itu, 20 tahun daripada sekarang kalau kita menziarahi tanah perkuburan kebanyakan kubur yang ada pada ketika itu ialah kubur orang Pas, tidak banyak lagi kubur orang parti lain.

“Begitu juga di jirat-jirat cina dan tanah perkuburan India pada masa akan datang tak banyak lagi jirat DAP, kebanyakan ialah jirat penyokong Pas,” ujarnya yang mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Menurut beliau, tenaga veteran akan dimanfaatkan untuk mendekati pengundi agar yakin dengan kerjasama Pas-UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Subky yang juga kolumnis juga menyatakan harapannya di sebalik penyatuan ummah antara Pas dan UMNO sekiranya diberikan mandat oleh rakyat untuk menerajui Putrajaya.

“Kita tidak mahu jadi seperti orang-orang yang tercicir daripada Pas apabila diberi peluang untuk menjadi menteri dikatakan tidak menpunyai kelayakan.

“Bekas Menteri, Tun Daim Zainuddin, dan bekas wartawan veteran negara, Datuk A Kadir Jasin pernah menyebut kelemahan keupayaan menteri baharu Pakatan Harapan (PH) ini antaranya orang-orang kuat Pas yang tercicir.

“Oleh kerana itu, jangan Pas apabila diberi kuasa nanti jadi macam itu, setakat ini daripada maklumat-maklumat yang saya dengar ialah dua Menteri Besar iaitu dari Kelantan dan Terengganu diterima baik oleh golongan bawahan, jadi maknanya kita mahu yang macam ini. Kita tak mahu macam yang tercicir daripada Pas,” katanya.