DPLB ke arah negara maju

Rina mendengar taklimat mengenai mesin yang dipamerkan di Ekspo TVET@ KPLB.
Rina mendengar taklimat mengenai mesin yang dipamerkan di Ekspo TVET@ KPLB.
A
A
A

PUTRAJAYA - Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) diperkenalkan sebagai kerangka hala tuju jangka panjang pembangunan luar bandar ke arah menjadikan Malaysia negara maju, sejahtera dan berpendapatan tinggi.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar memaklumkan, DPLB juga boleh dilihat sebagai kesinambungan agenda pembangunan luar bandar yang dilaksanakan kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga kini.

Menurut kenyataan itu, pandangan pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan Persekutuan, negeri, pertubuhan bukan kerajaan, swasta, belia dan pemimpin tempatan diambil kira dalam penggubalan DPLB melalui sesi libat urus dan Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) di enam zon seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Rina menyerahkan kunci kepada salah seorang penerima bantuan di bawah kementerian sebelum ini.
Rina menyerahkan kunci kepada salah seorang penerima bantuan di bawah kementerian sebelum ini.

“Tiga prinsip utama diguna pakai seperti prinsip lestari iaitu membangunkan luar bandar secara lestari dengan mengutamakan kualiti, prinsip inklusif iaitu pembangunan luar bandar tanpa mengira jantina, kaum dan kedudukan serta prinsip holistik selari dengan dasar nasional serta keperluan global dan sejagat.

“DPLB menggariskan 10 teras iaitu ekonomi, keusahawanan, modal insan, prasarana, belia, wanita, kehidupan luar bandar sejahtera, sistem penyampaian dan tadbir urus, biodiversiti dan perumahan, pembangunan wilayah dan penempatan desa,” katanya.

Pelan Tindakan DPLB turut dirangka bagi memastikan dasar itu dilaksanakan secara sistematik oleh kementerian dan agensi terlibat selaras visi Luar Bandar Sejahtera diilhamkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

“Pelaksanaannya mengikut tempoh iaitu jangka masa pendek bermula 2019 hingga 2020, jangka masa sederhana antara 2021 hingga 2025 dan jangka masa panjang antara 2026 hingga 2030.

Artikel Berkaitan:

"Setiap langkah akan diterajui agensi peneraju dan agensi lain sebagai sokongan,” katanya.