Dahulukan penyelesaian hutang, bukan peralihan kuasa

Abu Bakar
Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - Desakan pihak tertentu yang mahukan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyegerakan peralihan kuasa tidak akan menyelesaikan masalah bebanan hutang yang ditanggung kerajaan ketika ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata, tuntutan peralihan sedemikian hanya akan mewujudkan kekusutan dalam pentadbiran kerajaan dan dikhuatiri mencetuskan ketidakstabilan politik dalaman negara.

"Kerajaan pimpinan Dr Mahathir ketika ini telah pun melaksanakan langkah-langkah penyelesaian hutang negara yang telah ditinggalkan pentadbiran kerajaan sebelum ini. Yang pastinya proses penyelesaian tersebut memerlukan masa dan tempoh tertentu untuk dibereskan kerana jumlahnya terlalu besar.

"Persoalannya, apakah kita mahu masalah negara ini diselesaikan segera atau hanya sekadar mahu memikirkan soal politik dan jawatan sahaja. Jika kita utamakan negara, maka sepatutnya ketepikanlah soal tuntut-menuntut, desak-mendesak berhubung isu peralihan kuasa ini dan jika ada peralihan pun, biarlah ia berjalan secara demokratik mengikut lunas undang-undang," katanya.

Abu Bakar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir yang bertekad tidak akan membiarkan negara dalam keadaan berantakan apabila melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri bila tiba masanya.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan untuk bekerja keras untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi negara.

Dalam pada itu, Abu Bakar yang merupakan Setiausaha Politik Perdana Menteri mahu semua pihak mengambil iktibar daripada Krisis Ekonomi Asia 1997/1998 yang mana kejayaan Malaysia menangani krisis itu hasil daripada komitmen secara kolektif di antara pihak kerajaan, swasta.

"Paling penting ialah sokongan serta keyakinan rakyat terhadap kerajaan termasuk kepimpinan negara pada waktu itu," katanya.

Artikel Berkaitan: