Iran beri amaran kepada AS

Iran menunjukkan serpihan dron Tentera Laut AS yang ditembak jatuh pada Khamis lalu.
Iran menunjukkan serpihan dron Tentera Laut AS yang ditembak jatuh pada Khamis lalu.
A
A
A

TEHERAN - Iran hari ini menegaskan akan bertindak tegas terhadap sebarang ancaman Amerika Syarikat (AS) selepas ketegangan semakin meningkat antara kedua-dua negara susulan insiden dron ditembak jatuh di ruang udara Teheran.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Presiden Donald Trump menarik balik arahan untuk melancarkan serangan ke atas Iran pada saat akhir.

Jutawan hartanah yang terkenal sebagai pemimpin tidak tetap pendirian itu berkata, beliau membatalkan operasi ketenteraan itu kononnya kerana ia boleh membunuh 150 orang tidak berdosa dan turut menyatakan kesediaan untuk berdialog dengan Teheran.

Trump yang bimbang konfrontasi antara Iran dan AS akan menjadi lebih buruk memberitahu, mereka enggan berperang dengan Iran.

Iran sekali lagi berikrar untuk mempertahankan sempadan negara itu selepas ia menembak jatuh dron pengintip tentera laut AS, RQ-4 Global Hawk pada Khamis lalu.

“Tidak kira apa jua keputusan AS. Kami tidak akan membenarkan pelanggaran di mana-mana sempadan Iran. Teheran akan bertindak balas dengan tegas terhadap mana-mana ancaman AS,” lapor agensi berita Tasnim memetik kenyataan jurucakap Kementerian Luar, Abbas Mousavi.

ARTIKEL BERKAITAN: Trump tarik balik arahan serang Iran

Konflik semakin meningkat selepas Trump menarik diri daripada perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada 2015 dan turut mengenakan sekatan ekonomi terhadap Iran.

Artikel Berkaitan:

Teheran mengancam untuk melanggar perjanjian itu jika penandatangan Eropah gagal melindunginya daripada sekatan AS.

“Eropah diberi tempoh sehingga 8 Julai untuk menyelamatkan perjanjian nuklear tersebut,” kata Mousavi merujuk kepada tarikh akhir 60 hari diumumkan Iran pada bulan lalu.

Situasi tegang itu menyebabkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) mengeluarkan perintah kecemasan melarang pengendali AS terbang di ruang udara dikawal Teheran di Selat Hormuz dan Teluk Oman.

Beberapa syarikat penerbangan termasuk Singapore Airlines, Malaysia Airlines, Qantas Airways, Lufthansa dan British Airways mengesahkan mereka juga menukar arah laluan penerbangan sebagai langkah berjaga-jaga. - Agensi