KRM mahu bida tuan rumah Piala Dunia Ragbi 7S 2022

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berhasrat membida penganjuran Piala Dunia Ragbi Tujuh Sebelah edisi 2022.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada minggu depan bagi membincangkan perkara itu.

"Malaysia adalah antara 12 negara yang akan membuat bidaan Piala Dunia. Negara yang sudah jadi tuan rumah Siri Tujuh Sebelah Dunia tidak layak untuk membida, jadi untuk negara Asia, Malaysia dan Qatar nyatakan hasrat untuk buat bidaan.

"Cuma untuk realisasikan hasrat ini, kita perlukan sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta pihak korporat untuk menyokong KRM anjurkan kejohanan bertaraf dunia," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KRM di Bandar Sukan Bukit Jalil (KLSC) hari ini.

Menurutnya, penganjuran Piala Dunia itu juga bakal menjadi platform untuk KRM buktikan kepada Ragbi Dunia bahawa Malaysia mampu menganjurkan kejohanan bertaraf dunia sekali gus memberi peluang untuk negara membida penganjuran Siri Tujuh Sebelah Dunia yang diadakan pada setiap tahun.

Terdahulu berlangsung Mesyuarat Majlis KRM di Majlis Sukan Negara (MSN) yang turut mendapat kelulusan anggota majlis untuk membuat pembentangan kepada KBS mengenai hasrat MRU mewujudkan satu pasukan ragbi 15 sebelah di peringkat akar umbi melalui projek Piala Dunia Ragbi 2031.

Shahrul Zaman mengakui proses penyediaan pasukan dalam tempoh 12 tahun itu adalah sukar dan pihaknya perlu membuat persiapan rapi terutamanya memastikan program pembangunan itu melibatkan pemain berusia sembilan hingga 12 tahun.

"Kita akan bentang kepada KBS mengenai program misi layak ke Piala Dunia 2031. Dua belas tahun tahun dari sekarang, itu adalah jangka masa yang kita perlukan untuk buat persediaan secara sistematik dan berstruktur. Kalau nak layak nanti, kita perlukan pemain yang kini masih di bangku sekolah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata kuota untuk pasukan dari Asia beraksi di Piala Dunia hanyalah satu dan kini dikuasai Jepun dan adalah sukar untuk menyaingi pasukan itu dalam tempoh empat hingga ke lapan tahun.

Menurutnya secara realistik, pasukan yang akan menyarung jersi kebangsaan bagi Piala Dunia 2031 adalah bakat muda ketika ini berusia dalam lingkungan 9 hingga 12 tahun. - Bernama