Gesa campur tangan Kementerian Pendidikan

x-default
x-default
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan digesa campur tangan bagi membela nasib pekerja pembersihan di seluruh negara yang ditamatkan perkhidmatan sehingga menyebabkan kebanyakan daripada mereka hilang mata pencarian.

Bendahari Bersatu Selangor, Shaid Rosli berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh kementerian berikutan kebanyakan pekerja pembersihan terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan penerima bantuan kerajaan.

Menurutnya, keputusan bagi menghentikan perkhidmatan pihak berkenaan dilihat agak mengecewakan dan merupakan satu penganiayaan kepada kumpulan pekerja pembersihan tersebut.

"Rakyat kini sudah terbeban dengan kos sara hidup dan situasi berkenaan dapat memberikan imej tidak baik terhadap kerajaan PH sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 45,000 pekerja pembersihan di seluruh negara diberhentikan dengan alasan kekangan peruntukan dan kewangan yang disalurkan Kementerian Pendidikan kepada syarikat-syarikat kontraktor.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Shaid yang juga merupakan ADUN Jeram memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan boleh mengguna pakai kaedah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Selangor dengan menawarkan tender berdasarkan tawaran harga.

"Kementerian Pendidikan boleh menggunakan kaedah dengan menetapkan syarat bagi mana-mana kontraktor yang boleh menawarkan pakej yang lebih rendah untuk kelayakan diberi kontrak. Jadi dalam kes ini, kemungkinan pembuangan pekerja dapat dielakkan," katanya.

Tamba beliau, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik juga perlu memberi maklum balas terhadap isu ini dan tampil dengan jalan penyelesaian terbaik bagi membantu mengurangkan beban ditanggung pihak terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini memerlukan perhatian sewajarnya. Di DUN Jeram sahaja seramai 39 orang pekerja pembersihan sudah membuat aduan di pejabat ADUN akibat diberhentikan dan sebahagian besar adalah ibu tunggal serta masih mempunyai tanggungan," katanya.