X

Kindly register in order to view this article
!

Syor subjek Agama Islam subjek teras di sekolah agama kerajaan

Tarmizi ketika menyampaikan bahas ucapan dasar dalam Muktamar Tahunan Pas hari ini.
A
A

KUANTAN - Subjek Agama Islam yang diguna pakai di sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri perlu dijadikan mata pelajaran teras bagi sekolah agama kebangsaan yang dibina oleh kerajaan.

Perwakilan Pas Pahang, Tarmizi Yahaya berkata, cadangan itu dibuat bagi memastikan sistem pendidikan negara dapat membentuk sahsiah dan akhlak generasi masa kini.

Menurutnya, sistem pendidikan pada hari ini gagal membentuk pendidikan pelajar yang sewajarnya selari dengan ajaran Islam.

“Dapat kita lihat hari ini banyak perlakuan tidak bermoral dan akhlaknya menyakitkan mata seperti kes seperti video 'hanyir', ahli politik yang berbuka puasa di rumah-rumah ibadat agama yang lain dan agihan zakat oleh bukan Islam menunjukkan sistem pendidikan negara ini gagal dalam membentuk pemikiran pelajar

“Akhlak sebegini dapat dilihat hasil daripada pendidikan nasional sehingga melahirkan generasi sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) hari ini.

Tarmizi berkata, akhlak itu berbeza dengan pelajar yang menerima didikan sekolah agama negeri tang mampu melahirkan insan berwibawa.

Jelasnya, bukan itu sahaja, malah pelajar dari sekolah agama begitu cemerlang dalam bidang pendidikan dan sewajarnya contoh ini diambil oleh kerajaan.

“Kerajaan perlu terapkan subjek agama ini ke dalam sistem pendidikan negara terutama di sekolah agama kebangsaan bagi pembentukan akhlak generasi akan datang," katanya.