Kementerian Industri Utama harap dapat peruntukan lebih besar

Teresa Kok - Foto Bernama
Teresa Kok - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Industri Utama berharap memperoleh peruntukan yang lebih besar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk memacukan lagi industri komoditi negara.

Menterinya, Teresa Kok yang menggesa pemain industri tampil kehadapan dengan input mereka berkata, peruntukan lebih besar diperlukan kerana industri itu menyumbang sebahagian besar daripada hasil negara.

“Kami adalah pihak yang mendorong komoditi tempatan dieksport bagi mendapat lebih banyak hasil eksport. Bagaimanapun, selalunya peruntukan yang diberikan kepada kami tidak mencukupi.

"Perhatian tidak diberikan secukupnya kepada kementerian ini,” katanya pada Persidangan Industri Getah 2019 Persatuan Pengeluar Produk Getah Malaysia (MRPMA) di sini hari ini.

Menurutnya, ketika ini kementerian itu sedang mencari industri berbeza bagi mengenal pasti keperluan mereka dan mengalu-alukan input daripada pemain industri untuk membantu kementerian menyediakan cadangan bagi RMK-12.

Sementara itu, Teresa berkata, produk getah dikilangkan mencatatkan pertumbuhan pendapatan eksport sebanyak 9.6 peratus kepada RM23.71 bilion pada 2018 berbanding tahun sebelumnya.

"Hasil eksport tayar berjumlah RM1.32 juta tahun lepas, manakala hasil Barangan Getah Perindustrian (IRG) dan Barangan Getah Am (GRG) masing-masing berjumlah RM1.37 bilion dan RM1.32 bilion.

"Hasil bagi produk getah bukan berasaskan lateks berjumlah RM4.4 bilion," katanya sebagai mengulas mengenai sumbangan industri kepada hasil negara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, industri itu mencatatkan prestasi yang sangat baik pada 2018 meskipun terdapat cabaran disebabkan penarikan balik subsidi gas asli, peningkatan kos gas asli dan utiliti, isu pekerja asing dan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

"Pasaran domestik juga semakin mengecil dengan kebanjiran masuk produk getah dari luar negara,” katanya sambil menambah import getah berjumlah RM8.35 bilion pada 2018.

Teresa berkata, import tayar sahaja bernilai RM2.7 bilion terutamanya dari pasaran seperti China, Thailand dan Indonesia manakala import IRG dan GRG masing-masing berjumlah RM1.21 bilion dan RM1.26 bilion.

"Semua segmen ini membentuk 62 peratus daripada import getah oleh Malaysia, katanya.

Sementara itu, Presiden MRPMA, Datuk Dr Ong Eng Long berkata, industri getah Malaysia kebanyakannya dipacu oleh segmen sarung tangan perubatan.

"Kita sering dianggap sebagai ‘taiko’ atau abang dalam pembuatan produk getah dalam kalangan pesaing di Asia tetapi adakah kita benar-benar cemerlang dalam bidang ini?

"Malaysia menguasai 57 peratus daripada bahagian pasaran sarung tangan pakai buang atau US$4.05 bilion daripada keseluruhan nilai pasaran sebanyak AS$7.1 bilion," katanya

Dalam pada itu, menurutnya, Malaysia menguasai 34.5 peratus atau AS$360 juta daripada keseluruhan bahagian pasaran sarung tangan pembedahan yang bernilai AS$1.1 bilion dan 1.4 peratus daripada pasaran kondom yang bernilai AS$6.5 bilion.

"Pasaran global bagi produk getah kering bernilai AS$360 bilion dan jika kita dapat menguasai dua peratus daripada pasaran, kita telahpun mempunyai US$7.2 bilion dalam tangan. Jadi kita perlu menetapkan sasaran untuk menguasai satu atau dua peratus daripada pasaran getah kering,” katanya.

Sementara itu, Eng Long berkata, MRPMA merancang untuk menubuhkan pusat pembangunan kemahiran bagi menyediakan latihan vokasional IR4.0 kepada pekerja baharu dan sedia ada dalam industri getah.

“Kami sudah berbincang dengan Dana Pembangunan Sumber Manusia untuk membantu kami merangka rangka kerja perindustrian produk getah bagi mengkaji prospek dan unjuran industri dan tenaga kerja,” katanya.

"Pada 2018, pihak berkuasa meluluskan pinjaman berjumlah RM201.7 bilion oleh pemain industri getah. Daripada jumlah itu, RM80.5 bilion adalah pelaburan langsung asing manakala bakinya adalah pelaburan langsung domestik," katanya. - Bernama