Pekerja tol dikejarkan ke hospital, treler rempuh pondok

Salah sebuah pondok tol di Plaza Tol Ayer Keroh yang bergesel dengan treler membawa sel sawit hingga menyebabkan seorang pekerja tol wanita tersepit.
Salah sebuah pondok tol di Plaza Tol Ayer Keroh yang bergesel dengan treler membawa sel sawit hingga menyebabkan seorang pekerja tol wanita tersepit.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang jurutol wanita di plaza Tol Ayer Keroh, di sini, terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka akibat tersepit selepas pondok tol bergesel dengan sebuah treler yang membawa muatan sel sawit seberat 28 tan, pagi tadi.

Dalam kejadian lebih kurang jam 11.10 pagi, mangsa berusia 40-an sedang bertugas di dalam pondok tol di lorong paling kiri sebelum treler yang dalam perjalanan dari Tangkak, Johor menghala ke Jeti Tanjung Beruas merempuh pondok terbabit ketika memasuki lorong kedua kiri.

Pemandu treler, R Murali, 50, berkata, dia pada mulanya tidak menyedari bahagian badan treler tersangkut di pondok tol terbabit sebelum terdengar dentuman kuat akibat rempuhan itu.

Menurutnya, dia mengambil tindakan untuk melalui lorong tersebut memandangkan lorong paling kiri begitu panjang dengan kenderaan lain.

Katanya, itu juga bukan pertama kali dia melalui lorong berkenaan dengan saiz serta muatan kenderaan yang sama.

Keadaan pondok tol yang bergesel dengan bahagian tengah treler berkenaan.
Keadaan pondok tol yang bergesel dengan bahagian tengah treler berkenaan.

"Tapi hari ini nasib tidak menyebelahi saya apabila bahagian tengah treler tersangkut lalu menyebabkan bahagian tepi pondok tol bergesel.

"Saya bergegas turun lori dan bantu pekerja yang tersepit dalam pondok. Masa tu dia sedang menjerit kesakitan dan menangis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dia tidak pernah minta kejadian malang seperti ini berlaku.

Murali berkata, wanita yang mengalami kecederaan itu kemudian dipapah olehnya ke jalan sebelum bantuan kecemasan tiba dan menghantar mangsa ke hospital.

"Dah 20 tahun bawa treler tak pernah jadi macam ni. Ia betul-betul beri pengajaran kepada diri untuk lebih berhati-hati.

"Sebenarnya sebelum sampai di Tol Ayer Keroh saya disaman Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) atas kesalahan tayar botak tapi bila tiba di Melaka lain pula yang berlaku," katanya yang menetap di Banda Hilir.

Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan di pintu masuk tol disebabkan dua lorong ditutup iaitu lorong paling kiri dan lorong kedua kiri sebelum kerja-kerja mengalihkan treler tersangkut itu dilakukan.