Warga emas diami rumah usang

Yusof (tiga dari kanan) hadir menyerahkan bantuan keperluan asas kepada Rosminah di rumah di Kampung Hilir, di sini semalam.
Yusof (tiga dari kanan) hadir menyerahkan bantuan keperluan asas kepada Rosminah di rumah di Kampung Hilir, di sini semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang warga emas dari Kampung Hilir, Kepala Batas, di sini, terpaksa mendiami rumah yang uzur sejak lima tahun lepas.

Rosminah Othman, 70, berkata, dia yang tidak bekerja terpaksa mendiami rumah berkenaan memandangkan tidak mampu membaik pulih kerosakan itu.

Rosminah berkata, arwah suaminya, Tengku Zainol Rashid Tengku Huziq yang membaiki bahagian rumah mereka yang mengalami kerosakan selama ini.

"Bagaimanapun, lama kelamaan kerosakan di beberapa bahagian rumahnya makin serius memandangkan tiada lagi orang boleh membaikinya.

"Jadi, makcik terpaksa tinggal di rumah itu walaupun takut dengan keadaan rumah usang yang seakan-akan menunggu masa menyembah bumi sahaja," katanya.

Katanya, dia terpaksa tidur sudut kecil di rumah itu memandangkan beberapa bahagian bumbung kediaman itu bocor di merata-rata tempat.

Turut membimbangkan, katanya, ada bahagian dinding rumahnya reput dimakan anai-anai sehingga rumah itu dirasakan tidak lagi selamat didiami.

"Jikalau hujan lebat diikuti angin kencang, makcik memang takut kerosakan makin serius memandangkan itulah tempat berteduh dari panas dan hujan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rosminah berkata, dia sememangnya mengharapkan ada pihak sudi membantu membaiki kediamannya demi membolehkan dirinya meneruskan kehidupan.

Terdahulu, nasib Rosminah mendapat perhatian Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kedah yang turun padang melawat warga emas itu melalui program Jiwa Murni, semalam.

Yang Dipertuanya, Kapten (B) Datuk Yusof Yaacob berkata, pihaknya sememangnya prihatin terhadap nasib golongan memerlukan sedemikian.

"Untuk itu, kira-kira seramai 20 ahli PVATM turun padang menziarahi Rosminah demi menyelami nasibnya, sekali gus cuba mengenal pasti keperluan warga emas itu," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden PVTAM berkata, pihaknya turut menyerahkan bantuan keperluan asas demi meringankan beban wanita warga emas itu.

Dalam perkembangan sama, katanya, sehingga kini, pihaknya sentiasa aktif melakukan pelbagai aktiviti dan program termasuklah bantuan.