Pas tak tuntut jadi ketua kerjasama dengan UMNO: Abdul Hadi

Sidang media Abdul Hadi selepas perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-65 di sini hari ini. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Sidang media Abdul Hadi selepas perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-65 di sini hari ini. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUANTAN - Pas tidak akan menuntut kedudukan ketua sekiranya kepimpinan Islam antara parti itu dengan UMNO berjaya direalisasikan, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, katanya, Pas tidak menolak sekiranya diminta untuk berbuat demikian.

"Kepimpinan Islam ini kita sebut secara umum. Tidak semestinya UMNO dan Pas, boleh jadi pihak ketiga (jadi ketua).

"Tidak mustahil itu berlaku kerana politik ini fleksibel. Pas tidak akan menuntut (jadi ketua) kecuali orang memaksa dan perlukan kita di hadapan," katanya dalam sidang media selepas perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-65 di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan perwakilan Kedah, Nasrun Othman di Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas ke-60, yang mahu Pas menjadi ketua dan berada di atas dalam kerjasama Pas dan UMNO.

Ditanya mengenai masih ada ahli yang berhati-hati untuk menerima kerjasama dua parti itu, Abdul Hadi menasihatkan mereka mengetepikan perasaan tersebut demi kepentingan ummah.

"Berhati-hati itu biasa dan kita kena sedar dalam Pas ada UMNO fobia. Itu keterangan masa lalu yang boleh diselesaikan.

"Sebagai orang Islam, kita ada moral dan mengutamakan kepentingan ummah dahulu berbanding perasaan. Perasaan mesti disingkirkan untuk mencapai kepentingan politik bersama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, kerjasama itu kini lebih mudah dicapai memandangkan tiada lagi ahli yang tidak bersetuju berada dalam parti.

"Yang tak setuju itu dah keluar parti dan tubuh parti lain. Sekarang ini tak ada yang keluar parti, itu maknanya mereka terima kerjasama ini," katanya,

Malah, katanya, semua halangan yang timbul melibatkan dua parti itu di peringkat awal telah pun diselesaikan.

"Sehingga ini semua perkara penghalang telah diselesaikan. Contohnya ialah perasaan kerana perbezaan lama.

"Orang Memali pun terima UMNO kerana kepentingan nasional mengatasi kepentingan peribadi," katanya.