Pas dakwa PH gagal perjuangkan negara bebas rasuah

Suasana di Stadium Sukpa sempena pembukaan Muktamar Tahunan Pas hari ini. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Suasana di Stadium Sukpa sempena pembukaan Muktamar Tahunan Pas hari ini. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa gagal memperjuangkan Malaysia yang bebas rasuah, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau mencadangkan supaya segala pertuduhan rasuah dan pecah amanah perlu disiasat dan didakwa di mahkamah secara adil oleh hakim, bukannya dibicarakan di ‘mahkamah media’ oleh barisan menteri Kabinet.

Susulan itu, Abdul Hadi berkata, dalam hal ini Pas mengulangi saranan agar satu penilaian bebas dan menyeluruh dibuat melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi meneliti setiap laporan dan syor yang dikemukakan oleh Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurutnya, ini penting demi mengukuhkan kedudukan kewangan dan kecekapan operasi di pihak Tabung Haji (TH), Felda, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan institusi ekonomi Bumiputera yang terpenting.

“Berdepan dengan pentadbiran PH, Pas akan terus komited memperjuangkan Malaysia yang bebas rasuah, telus dan berdaya saing dengan kritikan yang membina sebagaimana yang kita tunjukkan selama ini.

“Segala pertuduhan rasuah dan pecah amanah perlu disiasat dan didakwa di mahkamah secara adil oleh hakim, bukannya dibicarakan di ‘mahkamah media’ oleh menteri,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden Pas pada Muktamar Tahunan Pas ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan bahawa Pas bukan sekadar berteori semata-mata, sebaliknya telah membuktikan dengan rekod bebas rasuah di negeri-negeri yang pernah ditakluki mereka.

“Kita bukan berteori kerana telah membuktikan dengan rekod bebas rasuah, telus, berhemat dan adil untuk semua sepanjang pemerintahan Pas di Kelantan, Terengganu termasuklah Kedah, bukannya seperti PH ibarat paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Artikel Berkaitan: