Pemuda UMNO Jasin pelawa Adly, Idris berdebat

Dr Akmal Saleh
Dr Akmal Saleh
A
A
A

JASIN - Pemuda UMNO Jasin mempelawa Ketua Menteri, Adly Zahari menyertai debat terbuka bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron berhubung beberapa isu yang menjadi bualan hangat di laman sosial Facebook.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada kedua-dua tokoh berkenaan beberapa hari lalu.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, sehingga kini, hanya Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka sudah memberi jawapan setuju untuk bermuzakarah atau berdebat dengan Adly.

"Saya mencadangkan supaya mewujudkan sesi perbahasan terbuka antara Adly dan Idris mengenai polisi serta agenda yang sudah dan akan dibawa oleh kerajaan negeri di bawah PH supaya rakyat Melaka dapat menilai sendiri pimpinan mana yang lebih menguntungkan rakyat.

"Saya percaya sesi debat ini akan dipenuhi dengan ilmu dan maklumat, seterusnya memberi kebaikan kepada rakyat Melaka khususnya untuk mereka menilai kepemimpinan kedua-dua tokoh ini.

"Daripada kita asyik bercakap dalam FB (Facebook), lebih baik kita berdebat secara terbuka bagi membolehkan rakyat menilainya sendiri," katanya yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO negeri.

Antara isu yang masih hangat di Facebook adalah membabitkan perbezaan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibangunkan kerajaan terdahulu dan Rumah Peduli Rakyat oleh kerajaan negeri ketika ini.

Rumah PPRT didakwa mengenakan bayaran RM20,000 manakala Rumah Peduli Rakyat pula diberikan secara percuma.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu mencetuskan perdebatan antara pengguna laman sosial berkenaan dan ada dalam kalangan mereka yang saling menuduh dengan pelbagai gelaran.

Sehubungan itu, Akmal berkata, pihaknya terpanggil untuk menjadi hos bagi membolehkan kedua-dua pihak memberikan penerangan serta penjelasan kepada rakyat berhubung isu terbabit.

"Masa serta lokasi akan ditentukan apabila kedua-dua tokoh berkenaan sudah menyatakan persetujuan," katanya.