Boris Johnson, Jeremy Hunt calon akhir PM baharu Britain

Johnson (kiri) dan Hunt akan bersaing untuk merebut sokongan ahli parti Tory.
Johnson (kiri) dan Hunt akan bersaing untuk merebut sokongan ahli parti Tory.
A
A
A

LONDON - Boris Johnson akan berdepan pencabar tunggal Jeremy Hunt untuk merebut jawatan Perdana Menteri baharu Britain selepas Menteri Alam Sekitar, Michael Gove tersingkir dalam pengundian kelima kepimpinan Tory semalam.

Gove memperoleh 75 undi, kurang dua undi di belakang Hunt yang meraih 77 undi.

Johnson yang dianggap sebagai calon pilihan pula mendapat sokongan 160 ahli Parti Konservatif.

Dalam pusingan keempat pengundian, Setiausaha Dalam Negeri, Sajid Javid turut tersingkir selepas hanya memperoleh 34 undi di belakang Hunt yang meraih 59 undi.

Pusingan akhir bakal menyaksikan bekas Datuk Bandar London itu dan Hunt yang merupakan Setiausaha Luar bersaing untuk merebut sokongan 160,000 ahli parti Tory.

Pengganti bekas Perdana Menteri, Theresa May itu bagaimanapun akan diumumkan pada 22 Julai depan.

Sebelum ini, Johnson berulang kali berjanji bahawa beliau akan memastikan Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) sebelum tarikh akhir ditetapkan pada 31 Oktober depan sama ada dengan atau tanpa sebarang perjanjian.

Beliau dijangka mendapat sokongan penuh ahli parti Tory termasuk Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock yang tersingkir sebagai calon awal Perdana Menteri pada minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Ia adalah perkara mengujakan yang berlaku semula dalam politik negara ini. Tetapi, kita ada kerja serius yang perlu dilakukan," lapor Evening Standard memetik kenyataan Johnson. - Agensi