Murid sesak nafas ketika program rumah terbuka sekolah

Petugas kesihatan memeriksa sebahagian murid mangsa pencemaran udara yang mendapatkan rawatan di Sekolah Agama Taman Mawar hari ini. - Foto Bernama
Petugas kesihatan memeriksa sebahagian murid mangsa pencemaran udara yang mendapatkan rawatan di Sekolah Agama Taman Mawar hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kejadian pencemaran udara yang menjejaskan 15 mangsa termasuk 13 murid dari dua sekolah di Pasir Gudang hari ini dilaporkan berlaku ketika berlangsung sesi pembelajaran dan program rumah terbuka Aidilfitri di sekolah terbabit.

Guru Besar Sekolah Agama Taman Mawar, Rahmah Yahaya berkata, pembelajaran sesi petang di sekolahnya berlangsung kira-kira 2.30 petang namun tidak lama selepas itu terdapat seorang murid perempuan dilaporkan pengsan.

“Kejadian turut berlaku ke atas murid lain yang kebanyakannya di tingkat atas. Ada seorang pelajar pengsan, ada juga pelajar yang sakit perut, pening, muntah-muntah dan menangis kerana sesak nafas.

“Kami kemudian segera mengumpulkan mereka dan menghubungi ambulans, bomba serta pihak berkuasa lain,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4, Mohamad Addam Azfar Azlan, 8, berkata, dia mengalami simptom muntah dan pening secara tiba-tiba semasa menghadiri rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkan pihak sekolahnya, kira-kira 3.30 petang.

“Selain saya, ada juga kawan-kawan yang lain muntah. Rasa susah bernafas sedikit dan pening-pening tetapi tiada bau busuk atau bau lain,” katanya.

Mengalami situasi sama seperti Mohamad Addam ialah Ahmad Dhamidi Imran, 8, yang turut mengalami mual dan muntah namun tidak pasti disebabkan apa.

Dalam pada itu, ibu Mohamad Addam, Nurul Aisyah Mohd Ramli, 33, berkata, dia yang sedang bekerja ketika kejadian bergegas ke sekolah anaknya sebaik sahaja mendapat maklumat.

Artikel Berkaitan:

“Saya terkejut dan segera ke sini, jururawat yang memberi rawatan membenarkan anak saya balik tapi perlu ke klinik atau hospital jika ada simptom dirasai lagi,” katanya.

Dakwa Nurul Aisyah, semenjak beberapa hari lalu, dia ada menerima mesej daripada kumpulan WhatsApp kilangnya yang mengadu mengenai bau yang kurang menyenangkan di kawasan sekitar dan mengarahkan penduduk untuk memakai penutup muka dan mulut.

“Ada kata bau macam rumput terbakar, ada bau najis dan sebagainya,” katanya.- Bernama