Wabak measles kalangan Orang Asli Kuala Koh rekod 43 kes

Dr Dzulkefly ditemui pada sidang media di pejabat Kementerian Kesihatan, Putrajaya. FOTO SINAR:ZAHID IZZANI
Dr Dzulkefly ditemui pada sidang media di pejabat Kementerian Kesihatan, Putrajaya. FOTO SINAR:ZAHID IZZANI
A
A
A

PUTRAJAYA - Sejumlah 43 kes daripada 113 kes melibatkan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang di Kelantan, didapati positif wabak demam campak, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Daripada 113 kes yang direkod setakat Selasa lepas, 53 kes masih dirawat di hospital iaitu 51 kes di wad biasa dan dua di Unit Rawatan Rapi; 12 kes dengan gejala ringan ditempatkan di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli di Gua Musang serta tujuh kes di Pusat Latihan Khidmat Negara Gua Musang manakala kes kematian kekal tiga.

“Keputusan makmal terkini ke atas dua kes kematian yang dibuat bedah siasat didapati positif measles (demam campak)," katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata bedah siasat ke atas 12 mayat yang ditemui telah dijalankan serta sampel telah dihantar ke makmal, yang keputusannya dijangka dalam masa terdekat.

Dr Dzulkefly berkata tiada kes baharu disyaki demam campak dilaporkan dalam komuniti Orang Asli di Kg Gerdong, Hulu Terengganu dan Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa wabak demam campak bukan punca kematian Orang Asli di Kuala Koh, beliau berkata pihak berkenaan tidak sepatutnya membuat dakwaan tanpa bukti yang kukuh.

“Perkara ni tak boleh dakwa. Ia mestilah kukuh, secara objektif ditentukan melalui ujian yang dilakukan dan mesti mempunyai nilai empirik yang kukuh,” katanya.

Beliau turut menyangkal dakwaan pihaknya lambat bertindak untuk menangani wabak demam campak kalangan Orang Asli di Kuala Koh, sebaliknya menegaskan kejadian wabak itu hanya diterima oleh Kementerian Kesihatan pada 3 Jun lepas.

Artikel Berkaitan:

“Pada hari yang sama pasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli telah memasuki perkampungan tersebut dan mengesan 29 penduduk Orang Asli yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan.

“Wabak telah diisytihar pada hari tersebut dan aktiviti pencegahan dan kawalan wabak telah digerakkan pada hari yang sama,” katanya. - Bernama