MB sahkan Exco Perak kekal

Ahmad Faizal (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPPNP, Yahanis Yahaya pada mesyuarat khas hari ini.
Ahmad Faizal (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPPNP, Yahanis Yahaya pada mesyuarat khas hari ini.
A
A
A

IPOH - Tiada sebarang perubahan dalam barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak yang baharu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, pihaknya gembira dengan barisan kepimpinan yang ada dan mengharapkan kesinambungan gerak kerja yang baik dapat diteruskan.

"Setakat ini saya tak nampak ada apa-apa perubahan, dalam usaha kita nak menubuhkan kerajaan ini, saya gembira dengan apa yang ada setakat ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), hari ini.

Beliau berkata, dalam lantikan Exco, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak lebih menitikberatkan kestabilan politik.

"Kalau ada perkara timbul ia hanyalah masalah kecil, bukan sesuatu yang perlu dibuat keputusan untuk ditendang keluar (dari barisan Exco)," katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri akan berhubung dengan Pejabat Istana dalam waktu terdekat ini bagi mendapatkan tarikh dan perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk angkat sumpah selepas setahun berkhidmat.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, kelewatan lantikan Datuk Bandar Ipoh bukan disebabkan faktor calon, sebaliknya masih terdapat beberapa proses yang belum dapat diselesaikan.

Menurutnya, di peringkat kerajaan negeri, keputusan secara bersama telahpun dicapai dan calon dikenal pasti itu sepatutnya boleh melaporkan diri pada bila-bila masa.

Artikel Berkaitan:

"Saya mohon maaf kerana sudah berjanji sejak April lagi mengenai perkara ini, tetapi jika ada pihak-pihak lain yang belum dapat melaksanakan prosesnya..itu adalah diluar kawalan saya.

"Secara peribadi saya juga agak kecewa apabila lantikan ini masih belum dapat dilakukan," katanya.

Beliau berharap, pelantikan itu dapat dibuat secepat mungkin bagi memudahkan pelaksanaan gerak kerja terutama melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Bukan mudah untuk kita melaksanakan tugas tanpa kehadiran Datuk Bandar, nak buat mesyuarat pun tak boleh," katanya.