Kelantan, Terengganu meterai perjanjian sempadan darat

Memorandum persefahaman dan perjanjian sempadan berlangsung di Wisma Sumber Asli di sini hari ini. - FOTO BERNAMA
A
A

PUTRAJAYA - Kelantan dan Terengganu hari ini memeterai perjanjian sempadan darat antara kedua-dua negeri itu melibatkan jajaran sepanjang 198.7 kilometer.

Kelantan diwakili oleh Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi pihak Terengganu menandatangi memorandum persefahaman dan perjanjian sempadan itu di Wisma Sumber Asli di sini yang disaksikan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

"Komitmen memastikan pemeteraian perjanjian ini merupakan tanda hubungan harmoni antara kerajaan Kelantan dan Terengganu yang sedia menyelesaikan sebarang isu untuk kepentingan bersama,” kata Dr Xavier dalam sidang media selepas pemeteraian perjanjian itu.

Beliau berkata, jarak sempadan darat antara Kelantan dan Terengganu itu dimuktamadkan selepas kerja-kerja pengukuran dan pemetaan yang mengambil masa lebih tiga tahun selesai.

Kerja penandaan dan pengukuran yang dilaksanakan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dari Mac 2012 hingga November 2015 itu bermula dari pertemuan sempadan antara tiga negeri iaitu Kelantan-Pahang-Terengganu di Gunung Gagau sehingga Kampung Pacakan yang berhadapan dengan Laut China Selatan, katanya.

Dengan termeterainya perjanjian sempadan darat itu, Dr Xavier berkata Kelantan dan Terengganu boleh memulakan rundingan penentuan sempadan maritim antara negeri hingga ke laut wilayah dengan tumpuan kepada garis sempadan maritim.

Beliau berkata, penyelesaian sempadan antara negeri-negeri sangat dititikberatkan oleh kerajaan Persekutuan kerana penentuan jajaran sempadan yang muktamad akan membolehkan kerajaan-kerajaan negeri mentadbir dan melaksanakan usaha pembangunan di sekitar sempadan secara lebih teratur dan terancang.

"Aktiviti kawalan dan pemantauan daripada berlakunya pencerobohan dan penerokaan tanah-tanah kerajaan secara haram serta penguatkuasaan di kawasan persempadanan juga dapat dipermudahkan," katanya.

Secara keseluruhannya, terdapat 19 sektor sempadan darat antara negeri-negeri di Semenanjung, dengan lima sektor daripadanya yang melibatkan Terengganu-Pahang; Perak-Pahang; Negeri Sembilan-Pahang; Selangor-Pahang dan Kelantan-Terengganu berjaya dimuktamadkan, katanya.

Tiga sektor membabitkan Johor-Melaka; Negeri Sembilan-Melaka dan Selangor-Negeri Sembilan telah siap ditanda serta diukur dan hanya menanti perjanjian sempadan untuk diitandatangani, manakala dua sektor melibatkan Perak-Kelantan dan Kedah-Perlis sedang dalam tindakan penandaan dan pengukuran, katanya.

Kerja penandaan dan pengukuran baki sembilan sektor iaitu Selangor-Wilayah Persekutuan Putrajaya; Selangor-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Perak-Selangor; Kedah-Pulau Pinang; Negeri Sembilan-Johor; Johor-Pahang; Pahang-Kelantan; Perak-Pulau Pinang dan Perak-Kedah belum dimulakan kerana masih dalam proses rundingan antara negeri-negeri terbabit, katanya.

Sementara itu, Ahmad dan Ahmad Samsuri sependapat perjanjian yang diusahakan kerajaan Persekutuan itu akan memudahkan kerajaan negeri merancang dan membangunkan tanah di sempadan negeri masing-masing. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia