Enam ditahan ketika leka main judi dalam talian

Razmi
Razmi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Enam lelaki ditahan ketika leka bermain judi secara dalam talian menggunakan telefon bimbit dalam serbuan di sebuah kedai makan di Kampung Ladang Titian di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, penahanan keenam-enam lelaki berusia antara 37 hingga 59 tahun itu hasil maklumat awam yang diterima berkaitan perjudian dalam Op Dadu, kira-kira jam 11.25 malam.

Beliau berkata, serbuan dijalankan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

"Ketika serbuan, enam lelaki terbabit sedang asyik bermain permainan judi online SCR 918 KISS di telefon bimbit masing-masing.

"Kita turut merampas enam telefon bimbit yang digunakan untuk kegiatan perjudian itu.

"Pemeriksaan juga mendapati lelaki berusia 51 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan judi sebelum ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Razmi berkata, bagaimanapun ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka negatif daripada sebarang jenis dadah.

Sementara itu, Razmi berkata, pihaknya turut meminta kerjasama masyarakat setempat untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti perjudian di kawasan masing-masing bagi mengekang aktiviti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dalam apa jua jenis kegiatan perjudian supaya ia dapat dihapuskan sehingga ke akar umbi.