'Jika ahli tak bermoral, saya letak jawatan'

Abdul Hadi
A
A

KUANTAN – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan akan melepaskan jawatan dan membubarkan parti sekiranya ada ahlinya yang terpalit dengan aktiviti tidak bermoral.

Beliau berkata, ini kerana Pas sangat mementingkan akhlak dan moral dalam kalangan ahli partinya.

“Media melaporkan Pas menolak pemimpin parti politik yang mengamalkan aktiviti tidak bermoral. Kita tak nak sebut nama, siapa makan cili api, dia rasa pedas.

“Kalau sayalah, kalau anak buah macam ini, saya letak jawatan, bubar saja parti. Bagi kita moral adalah paling penting dalam jemaah sebab ia menjadi teras jati diri dan kekuatan,” katanya ketika berucap di Muktamar Tahunan Pemuda Pas ke-60, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu turut menegaskan Pas juga tidak teragak-agak untuk memecat sesiapa sahaja pimpinan yang tidak bermoral.

“Bukan macam parti yang anggap moral sebagai perkara yang kecil, enteng dan ringan. Apa lagi... ada parti yang aktivitinya ialah video.

“Adakah kita mahukan pemimpin negara dan parti macam ni?,” katanya sambil disahut ‘tidak’ oleh perwakilan.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menjelaskan politik dan agama tidak boleh dipisahkan.

“Apabila bercakap saja tentang politik ia dianggap kotor dan najis. Ini ajaran bukan Islam.

“Teori bukan Islam yang pisahkan agama dengan politik tapi Islam jadikan politik sebahagian daripada agama,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia