MFA catat pencapaian positif

Radzali (tengah) bersama Zahtiah (kiri) dan Deric Yeo di Pelancaran dan sidang media Anugerah Francais Malaysia (AFM 2019) di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur semalam. Foto: Sharifuddin Abdul Rahim
Radzali (tengah) bersama Zahtiah (kiri) dan Deric Yeo di Pelancaran dan sidang media Anugerah Francais Malaysia (AFM 2019) di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur semalam. Foto: Sharifuddin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Francais Malaysia (MFA) terus mencatatkan pencapaian positif dalam dunia perniagaan francais apabila berdiri kukuh di dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar.

Pengerusinya, Datuk Radzali Hassan berkata, pencapaian tersebut dapat dilihat dari segi jumlah peningkatan ahli francais dan sambutan menggalakkan daripada penganjuran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa (FIM) 2019 lalu.

“Dari tahun ke tahun, MFA menunjukkan pencapaian menggalakkan terutama pada 2018 hingga 2019, di mana ada peningkatan ahli daripada 370 ahli kepada 400 ahli francais tahun ini.

“FIM yang berlangsung pada April lalu juga memperlihatkan corak industri francais yang semakin menggalakkan biarpun dalam keadaan ekonomi global yang banyak cabaran.

”Daripada FIM itu, turut menjadi penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perniagaan francais MFA sebanyak RM32 bilion tahun lalu dan menyasarkan RM35 bilion bagi 2019 hingga 2020,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Anugerah Francais Malaysia (AFM) kali ke-22 di Hotel Seri Pacific di sini semalam.

Bercakap mengenai malam AFM 2019 yang akan berlangsung pada 4 Oktober depan, Radzali berkata, pihaknya menjangkakan penyertaan penggiat francais bertambah kepada 60 penyertaan.

“Tahun lalu, kita berjaya menarik 40 penyertaan dan tahun ini kita jangkakan jumlah itu meningkat kepada 60 penyertaan,” katanya.

Beliau berkata, AFM kali ke-22 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur itu juga, dianjurkan bagi memberi pengiktirafan kepada usahawan francais yang menunjukkan prestasi cemerlang dan menyumbang kepada pertumbuhan industri francais negara.

Artikel Berkaitan:

“Bagi mengekalkan prestijnya, pemenang anugerah dipilih oleh panel penilai berkecuali yang terdiri daripada profesional dan akademik yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan industri francais,” katanya.

Radzali berkata, sebanyak enam kategori utama dipertandingkan dan penganjuran malam anugerah berprestij itu akan diadakan di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur yang dijangkakan dihadiri lebih 600 tetamu yang terdiri daripada penggiat francais dan lain-lain.

“Antara kategori anugerah yang akan dipertandingkan adalah Kategori Utama - Francais Terbaik, Kategori Sistem Francais, Kategori Francaisor Antarabangsa, Kategori Francaisi dan Kategori Terbuka.

“Pada AFM kali ke-22 ini juga, pihak jawatankuasa memperkenalkan beberapa kategori anugerah baru iaitu Kategori Terbuka - Anugerah Rancangan Perniagaan Francais Siswa Terbaik dan Kategori Media yang terbahagi kepada dua iaitu Anugerah Wartawan Terbaik dan Anugerah Penulisan Artikel Industri Francais Terbaik,” katanya.

Selain itu katanya, terdapat satu Kategori Penghargaan Khas yang akan dibahagikan kepada dua iaitu Penghargaan Khas Individu dan Penghargaan Khas Organisasi. “Penyertaan telah dibuka bermula hari ini dan tarikh tutup bagi pencalonan AFM adalah pada penghujung Julai ini,” katanya.