Suspek utama MH17 nafi penglibatan pemberontak Ukraine

Igor Girkin nafi dirinya dan pemberontak pro-Rusia terlibat dalam insiden MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014.
A
A

MOSCOW - Salah seorang suspek yang dinamakan sebagai perancang utama insiden Malaysia Airlines MH17 menafikan pemisah pro-Rusia sebagai dalang di sebalik serangan peluru berpandu BUK yang meragut nyawa 280 orang di dalam pesawat tersebut.

Pesawat itu ditembak jatuh peluru berpandu buatan Soviet di kawasan dikawal pemberontak di timur Ukraine pada Julai 2014, kira-kira 40 kilometer dari sempada Rusia.

Ia adalah lokasi di mana pertempuran berlanjutan selama beberapa bulan antara tentera Ukraine dan pemisah disokong Rusia.

"Saya hanya boleh mengatakan pemberontak tidak menembak jatuh pesawat itu," kata Igor Strelkov yang juga dikenali sebagai Igor Girkin kepada agensi berita Interfax di Rusia.

Hari ini, penyiasat antarabangsa berkata mereka mengeluarkan waran tangkap ke atas Girkin dan tiga lagi suspek lain berhubung insiden MH17.

Pendakwa raya Belanda, Fred Westerbeke berkata, kesemua lelaki tersebut 'akan dipertanggungjawabkan' kerana membawa senjata pemusnah BUK Telar ke timur Ukraine.

Ahli keluarga mangsa pula berkata, keempat-empat suspek akan didakwa sebagai perancang utama di Mahkamah Jenayah Belanda pada 9 Mac 2020.

Sementara itu, Girkin yang dipercayai tinggal di Moscow memberitahu Interfax bahawa beliau tidak akan memberi keterangan dalam kes tersebut.

"Saya enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini. Saya dan pemberontak tidak terlibat," katanya.

Terdahulu, Kremlin enggan mengulas laporan Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT) yang menyiasat insiden berkenaan.

Kremlin berkata, Rusia bukan sebahagian daripada siasatan.

Tahun lalu, JIT berkata peluru berpandu anti-pesawat BUK yang menembak jatuh MH17 adalah milik briged tentera Rusia yang berpangkalan di Kursk.

Moscow berulang kali menafikan sebarang pembabitan dalam menembak jatuh pesawat Boeing 777 itu, sebaliknya menyalahkan Kiev. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN:

Empat perancang utama MH17 dikenal pasti

Empat dalang tembak jatuh MH17 didakwa membunuh

Keluarga mangsa MH17 tuduh Putin dalang sebenar tragedi

Info ringkas suspek perancang tembak MH17