Sorok rokok seludup dalam bilik solat

Lubang tikus yang menjadi saluran transaksi antara kedai runcit dan kedai 'bundle' di Jalan Masjid, Kg Melayu Majidee.
Lubang tikus yang menjadi saluran transaksi antara kedai runcit dan kedai 'bundle' di Jalan Masjid, Kg Melayu Majidee.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ruangan solat dalam sebuah kedai 'bundle' di Kampung Melayu Majidee dijadikan stor untuk menyimpan pelbagai jenis rokok seludup dianggarkan bernilai RM15,000.

Dalam serbuan ke sebuah kedai runcit kira-kira jam 3.15 petang tadi, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menemui lubang tikus yang menghubungkan kedai itu ke kedai 'bundle' tersebut hingga membawa kepada penemuan 1,590 bungkus rokok tidak sah berkenaan.

Lubang bersaiz kecil itu dipercayai ditebuk untuk memudahkan urusan stok yang disimpan di kedai 'bundle' untuk disalurkan ke kedai runcit itu.

Suspek berusia 39 yang mengaku sebagai pekerja di kedai runcit itu mendakwa tidak mengetahui tentang kewujudan lubang tikus itu dan stok yang disimpan di bilik solat.

"Saya baharu kerja di sini sebelum ini saya kerja di pasar borong. Di kedai ini baharu dua bulan saya kerja. Barang simpan mana saya tak tahu, saya terima orang hantar stok saja," katanya ketika disoal anggota yang membuat serbuan.

Lubang tikus yang ditutupi dengan plastik hitam di bawah sinki di kedai runcit yang menghubungkan dengan bilik solat di kedai bundle.
Lubang tikus yang ditutupi dengan plastik hitam di bawah sinki di kedai runcit yang menghubungkan dengan bilik solat di kedai bundle.

Perkara sama disuarakan dua pekerja kedai bundle yang berusia 23 dan 33 tahun itu.

Kedai runcit yang tidak mempunyai papan tanda nama kedai itu turut dilengkapi enam kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian dalam.

Artikel Berkaitan:

Komander PPM Wilayah Dua, Assisten Komisioner Paul Khiu Kho Chiang berkata, dalam serbuan, pihaknya mendapati rokok sah dipamerkan di rak jualan sementara rokok tidak sah disimpan di dalam laci dan stor.

"Memang ada kaitan ketiga-tiga suspek ini. Cara mereka nak sembunyikan rokok haram ini licik di mana rokok sah akan dipamerkan di rak, rokok haram sedikit disimpan dalam laci manakala stok rokok dalam karton disimpan dalam stor di kedai sebelah. Bukan kedai pertama yang diserbu.

"Rokok itu boleh disalurkan melalui satu lubang tikus tersembunyi. Kalau kita tak buat pemeriksaan teliti, tak nampak rokok yang disembunyikan di kedai sebelah," katanya pada sidang media di Markas Pangkalan PPM Wilayah Dua hari ini.

Pekerja kedai runcit yang mengaku baharu bekerja dua bulan di situ ditahan bagi membantu siasatan.
Pekerja kedai runcit yang mengaku baharu bekerja dua bulan di situ ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, pihak polis sentiasa komited membanteras aktiviti pengedaran dan penjualan rokok haram di pasaran.

"Menerusi operasi ini kita berusaha mendapatkan maklumat-maklumat tambahan iaitu terhadap aktiviti penyeludupan dan penjualan ini serta dari mana sumber rokok ini.

"Dapat elak rokok haram masuk pasaran. Operasi seperti ini akan berterusan untuk banteras jualan dan pengedaran rokok tidak sah," katanya.

Seramai tiga pegawai dan 14 anggota PPM Wilayah Dua terlibat dalam serbuan kali ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, polis turut merampas mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai RM1,300 di sebuah kedai dobi bersebelahan kedai runcit tersebut.