Warga emas maut diserang beruk peliharaan

Kakitangan Perhilitan berjaya menangkap haiwan itu di lokasi sekitar jam 12 tengah hari tadi. (Gambar kecil, Ngah Muhammad).
Kakitangan Perhilitan berjaya menangkap haiwan itu di lokasi sekitar jam 12 tengah hari tadi. (Gambar kecil, Ngah Muhammad).
A
A
A

KUALA NERUS - Bapa sembilan anak berusia 72 tahun maut selepas digigit beruk peliharaannya dalam kejadian di Kampung Leban Besar Wakaf Mesira, Tepoh di sini hari ini.

Mangsa, Ngah Muhammad yang membawa haiwan peliharaannya itu memanjat dan memetik pokok kelapa meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai kehilangan banyak darah.

Ngah mengalami kecederaan parah bahagian tangan kanannya dan mengalami luka-luka pada bahagian tangan kiri serta betis akibat gigitan haiwan yang dikatakan 'naik minyak' itu.

Kejadian itu berlaku kira kira 30 meter dari bahagian laman belakang rumah mangsa sekitar jam 9.30 pagi namun hanya disedari anak keenam mangsa, Mohd Zakaria, 29, kira kira jam 10.30 pagi.

Mohd Zakaria yang tiba di lokasi hanya mampu melihat jasad bapanya itu terbaring di atas tanah lalu lalu segera mendapatkan bapanya itu sebelum cuba untuk menangkap beruk jantan tersebut.

Malik menunjukkan tempat bapanya terbaring setelah diserang haiwan itu.
Malik menunjukkan tempat bapanya terbaring setelah diserang haiwan itu.

Malangnya, Mohd Zakaria turut diserang dan mengalami kecederaan pada bahagian tengkuk dan kemudiannya bertindak menghubungi adik-beradiknya sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.

Adik bongsunya, Malik, 22, berkata, haiwan peliharaan ayahnya itu dikatakan bertindak agresif secara tiba-tiba dipercayai kerana naik minyak setelah melihat terdapat beruk betina berdekatan kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, abangnya yang tercedera kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu manakala mayat bapanya dihantar ke hospital sama untuk tujuan bedah siasat.

"Serangan ini merupakan serangan kali kedua. Kali pertama bapa diserang pada awal tahun ini namun kami tidak sangka serangan kali kedua ini meragut nyawa bapa dan mencederakan abang," katanya.

Malik yang ditemui di rumahnya itu turut memaklumkan haiwan itu akhirnya berjaya ditangkap kakitangan Perlindungan Hidupan Liar serta Taman Negara (Perhilitan) di lokasi sekitar jam 12 tengah hari.