Dadah bernilai RM2.6juta dirampas polis

Kamarul Zaman (tengah) menunjukkan dadah dirampas ketika sidang media di Bukit Aman hari ini.
Kamarul Zaman (tengah) menunjukkan dadah dirampas ketika sidang media di Bukit Aman hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket dadah selepas merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan RM2.6juta dalam lima serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Johor awal pagi tadi.

Dalam serbuan berkenaan, turut ditahan lima lelaki tempatan berusia 31 hingga 43 tahun termasuk dalang sindiket yang baru dibebaskan dari tahanan polis sekitar enam bulan lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, bertindak atas maklumat risikan yang dilakukan sejak sebulan lalu, serbuan pertama dibuat di kawasan parkir kenderaan di Desa Pandan Kuala Lumpur dan menahan tiga lelaki serta 50 bungkusan syabu dalam plastik tertera jenama teh.

"Susulan itu serbuan ke dua dilakukan di sebuah rumah di Desa Pandan dan menemui tiga paket plastik lut sinar dipercayai mengandungi syabu dan empat plastik lut sinar dipercayai ketamin.

"Serbuan ke tiga di lakukan di Skudai, Johor, polis menahan seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket ini.

"Seterusnya ia membawa kepada serbuan ke empat di Senai, Johor, polis merampas 3.7 kilogram heroin, 1,850 biji pil ekstasi, " katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Kamarul Zaman berkata, serbuan kelima dilakukan di Stulang Laut Johor yang mana polis menahan seorang lelaki juga dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket ini.

"Hasil siasatan awal, semua bekalan dadah dipercayai diperoleh dari luar negara untuk dijual di pasaran gelap di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Selain dadah, polis turut menyita lima buah kenderaan mewah iaitu sebuah BMW, dua kereta Toyota Camry, sebuah Yoyota Altis dan dua kereta Volkswagen serta wang tunai RM2,810 dan seutas jam tangan berjenama termasuk pelbagai jenis barang kemas," katanya

Kamarul Zaman memberitahu, semua suspek direman sehingga 25 Jun depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya lagi, kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara JSJN Polis Diraja Malaysia dengan masyarakat setempat.

"Polis sentiasa mengharapkan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah kepada polis agar tindakan sewajarnya dapat diambil," katanya lagi.

Serbuan berkenaan dilakukan bermula jam 4 petang hingga jam 3 pagi hari ini secara bersepadu antara JSJN Bukit Aman, JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan JSJN IPK Johor.