Zuraida hairan kenapa PKR tak pecat Haziq

Zuraida
Zuraida
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengakuan melakukan jenayah dibuat Haziq Abdullah Abdul Aziz sudah memadai untuk parti memecat Ketua Pemuda PKR Santubong itu dengan serta-merta, kata Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Begitu pun, Zuraida menyatakan beliau berasa janggal dan hairan dengan pendirian beberapa pimpinan parti dalam menangani hal yang amat serius ini.

Tegas beliau, mengapa sehingga ke hari ini tiada tindakan tegas diambil oleh kepimpinan parti dan majikannya terhadap Haziq Abdullah.

“Bukankah jelas dan nyata Haziq dengan terbuka dan sedar mengakui dirinya melakukan kesalahan jenayah yang cukup berat?

“Pengakuan melakukan jenayah ini sudah memadai untuk parti mengambil tindakan memecatnya dengan serta merta.

“Berbeza dengan satu pihak lagi yang turut dikaitkan dalam kes tersebut, beliau telah membuat penafian dan laporan kepada pihak berkuasa maka wajarlah menunggu siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Ampang itu, kegagalan pimpinan parti mengambil tindakan tegas seolah mengiyakan persepsi dan tanggapan bahawa ada ‘tangan ghaib’ yang mencatur semuanya.

“Ini menunjukkan kelemahan ketara saf kepimpinan parti masa kini khususnya dari kalangan yang dilantik ke jawatan di peringkat pusat dan negeri yang gagal menghadam erti reformasi.

Artikel Berkaitan:

“Ada juga yang mempunyai watak serta latar belakang yang meragukan. Implikasinya terhadap keyakinan rakyat kepada parti amat besar kerana Haziq juga telah memburukkan dengan mengaitkan beberapa nama pimpinan parti yang lain,” tegasnya.

Dalam pada itu, Zuraida menegaskan beliau akan membangkitkan perkara tersebut dalam Mesyuarat Biro Politik PKR esok untuk menegaskan pendiriannya dan juga mendapatkan penjelasan tentang perkara berkenaan.

“Saya menggesa agar siasatan menyeluruh dan rapi dijalankan oleh pihak berkuasa supaya ketulenan klip video tersebut dinyatakan serta dalang yang mencatur sebaran klip video yang memalukan Malaysia ini dikesan segera.

“Negara ini perlu kekal fokus dalam pacuan bagi membina semula keyakinan pelabur asing serta merancakkan aktiviti ekonomi dalam negara.

“Konspirasi politik yang berlaku ini hanya merencatkan proses pemulihan yang dirancang dan tidak langsung membantu rakyat yang menanti perubahan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.