‘Pitch Your Idea’ buka ruang angkat karya ke adaptasi drama, filem

Lebih 20 syarikat penerbitan dan rumah produksi berhimpun di bawah satu bumbung menerusi sesi 'Pitch Your Idea' pada hari pertama penganjuran Festival Novel Malaysia 2026 bertempat di Auditorium Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. Gambar kecil: Shahida. Foto SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Lebih 20 syarikat penerbitan dan rumah produksi berhimpun di bawah satu bumbung menerusi sesi 'Pitch Your Idea' pada hari pertama penganjuran Festival Novel Malaysia 2026 bertempat di Auditorium Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. Gambar kecil: Shahida. Foto SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Daripada sekadar menulis di atas kertas atau membiarkan idea terperam begitu sahaja, Festival Novel Malaysia 2026 anjuran Grup Buku Karangkraf (GBK) membuka ruang kepada penulis dan orang awam untuk mengetengahkan buah fikiran masing-masing menerusi sesi ‘Pitch Your Idea’.

Penganjuran julung kali di Malaysia itu menghimpunkan lebih 20 syarikat penerbitan dan rumah produksi di bawah satu bumbung, bermula jam 10 pagi hingga 5 petang pada hari pertama festival yang berlangsung di Auditorium Karangkraf, di sini.

Ketua Unit Novel dan Editor Perolehan GBK, Shahida Md Khasim berkata, ilham untuk mengadakan sesi sedemikian datang daripada Ketua Pegawai Eksekutif GBK, Firdaus Hussamuddin.

Menurut Shahida, idea, skrip dan jalan cerita yang dipersembahkan berpotensi untuk diadaptasi menjadi drama atau filem sekiranya penerbit atau pemilik stesen televisyen berpuas hati.

Pengarah tersohor, Erma Fatima sempat meluangkan masa mendengar sendiri pembentangan idea daripada penulis yang ingin mengangkat karyanya menerusi Rumah Karya Citra. Foto SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Pengarah tersohor, Erma Fatima sempat meluangkan masa mendengar sendiri pembentangan idea daripada penulis yang ingin mengangkat karyanya menerusi Rumah Karya Citra. Foto SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Orang awam yang mempunyai skrip menarik atau penulis yang sudah menerbitkan buku tetapi mahu karyanya diangkat menjadi drama televisyen, drama pendek mahupun filem, boleh datang ke sesi ‘Pitch Your Idea’ kerana rumah produksi dan syarikat penerbitan termasuk Novel Karangkraf sedia menawarkan konsultasi.

“Kami memang menggalakkan sesiapa yang mempunyai idea atau jalan cerita menarik untuk datang kerana ini antara usaha Karangkraf dan rakan kongsi lain bagi merancakkan lagi industri penerbitan, di samping mengangkat karya-karya berkualiti.

“Apa salahnya karya yang bagus dikembangkan lagi ke skrin televisyen. Tidak kiralah jika bukan drama atau filem sekalipun, ia boleh dijadikan komik juga. Sebagai contoh, novel-novel Ramlee Awang Murshid yang diolah menjadi koleksi komik,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Rumah produksi dan syarikat penerbitan yang turut serta menyediakan konsultasi percuma menerusi ‘Pitch Your Idea’ ialah Novel Karangkraf, Viu Malaysia, Tangan Seni Studio, Sr One Production, Red Communications, Suhan Movies, Manés Wordworks, Zeel Production dan D’Ayu Pictures.

Selain itu, BamBam Studios, Mangosteen, Komet Productions, Mache Allstar United Sdn Bhd, Metrowealth, Global Station Sdn Bhd, iFAME, PB Films, FJ Pictures, Ink Loaf, Prolog Media serta Bright Network.

Penulis membentangkan idea kepada Prisma Pictures Sdn Bhd, syarikat penerbitan milik pelakon, Intan Ladyana.
Foto SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Penulis membentangkan idea kepada Prisma Pictures Sdn Bhd, syarikat penerbitan milik pelakon, Intan Ladyana. Foto SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID

Penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima turut meluangkan masa mendengar sendiri pembentangan idea daripada penulis yang ingin mengangkat karya mereka menerusi Rumah Karya Citra, begitu juga pelakon, Intan Ladyana melalui syarikat penerbitannya, Prisma Pictures Sdn Bhd.

Festival Novel Malaysia 2026 yang bertemakan ‘Segalanya Bermula dengan Cinta’ berlangsung dari 23 hingga 27 September ini dengan menghimpunkan pencinta buku, penulis, penerbit dan komuniti kreatif dalam satu acara.

Antara pengisian menarik yang menanti pengunjung selain ‘Pitch Your Idea’ ialah Pertandingan Teater, ‘Art Market’, ‘K-Phenomenon Masterclass’, ‘Kraf Market’, Konvensyen Penulisan Novel, ‘Book Tea Party’ dan Anugerah Festival Novel Malaysia.

Jualan buku dan novel pada harga menarik serendah RM5 turut berlangsung di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, di sini dengan kemasukan percuma.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!