Sarang penagih dadah dalam ladang sawit diserbu

Antara penagih dadah yang ditahan dalam Ops Sarang yang dilakukan semalam.
Antara penagih dadah yang ditahan dalam Ops Sarang yang dilakukan semalam.
A
A
A

TASEK GELUGOR- Seramai 16 penagih dadah diberkas polis dalam serbuan yang dilakukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Lembah, Pinang Tunggal di sini pagi semalam.

Ops Sarang yang bermula jam 7 pagi dan berakhir pada jam 6 petang itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) hasil risikan yang dibuat mengenai lokasi yang menjadi tumpuan penagih dadah melepaskan gian mereka.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua penagih dadah yang ditahan berusia di antara 18 hingga 50 tahun dan bekerja sebagai buruh serta penganggur.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam operasi berkenaan polis menemui pelbagai jenis dadah antaranya heroin seberat 0.8 gram, dadah syabu seberat 0.5 gram dan air ketum sebanyak 500ml dari lapan penagih yang ditangkap.

"Siasatan dilakukan mendapati kesemua dadah yang ditemui untuk kegunaan mereka sendiri dan nilai dadah yang dirampas sebanyak RM100.

"Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap mereka mendapati kesemuanya positif dadah jenis methamphetamine dan morfin," katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, kesemua penagih dadah yang ditahan dibawa pulang ke lokap IPD SPU untuk reman dan tindakan lanjut dan kes tersebut disiasat di bawah Sek.12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Selain itu kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 memasukkan dadah ke dalam badan dan penagih dadah.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy mengingatkan pihaknya akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik yang berterusan secara agresif ke atas sarang-sarang penagih dadah yang berada di daerah ini.

Beliau juga mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dan jenayah yang melibatkan pengedar dan penagih di daerah ini.