Tikam guru: Henti tular gambar suspek, butiran laporan

No Image Caption
A
A
A

BANTING - Netizen diminta untuk menghentikan segera penularan butiran laporan polis berserta gambar suspek kes tikam guru sekolah di aplikasi media sosial seperti WhatsApp, Telegram, Facebook dan seumpamanya.

Pengerusi Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak Daerah Kuala Langat dan Ahli Panel Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak Telok Datok, Jefrizal Mohd Jaafar berkata, untuk makluman suspek seorang kanak-kanak di bawah umur 18 tahun seperti takrifan Akta Kanak-Kanak Pindaan 2018 dan sentiasa tertakluk kepada prosedur mahkamah terutama Mahkamah Juvana.

"Ini bermakna bahawa kanak-kanak ini adalah terlindung hak-haknya demi masa hadapan beliau yang masih panjang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar tingkatan lima tikam guru angkara dendam

"Justeru, sekali lagi saya memohon agar warga netizen dapat menghentikan segera penularan butiran dan gambar kanak-kanak ini dan meletakkan tanggungjawab ini kepada pihak-pihak berwajib seperti Polis Diraja Malaysia, Mahkamah Juvana dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menguruskannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, sebagai peringatan, menyebarkan butiran kanak-kanak ini juga boleh dianggap sebagai satu kesalahan seperti tertakluk dalam peruntukan akta yang berkaitan dengannya.

Hari ini, akhbar Sinar Harian melaporkan polis menahan reman lima hari sehingga Jumaat terhadap suspek seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di Sungai Manggis.

Kejadian Ahad lalu dilaporkan berlaku di bilik pembantu warden sekolah berkenaan kira-kira jam 8.20 malam.

Artikel Berkaitan:

Mangsa, Muhammad Hasnan Salim berusia lingkungan 30-an seorang guru kaunseling kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.