Mat gian terkejut diserbu polis

Dadah dan barangan yang dirampas polis untuk tindakan lanjut.
A
A

JEMPOL - Seorang penagih dadah terkejut selepas diserbu sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di sebuah rumah di Kampung Padang Lalang, Bahau di sini tengah hari semalam.

Lelaki berusia 44 tahun bertindak mahu melarikan diri selepas pasukan serbuan menjerit memperkenalkan diri sebagai polis sebaik tiba di lokasi lebih kurang jam 12.15 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nurhishamuddin Hashim berkata, intipan dilakukan oleh anggotanya mendapati suspek sendirian dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota serbuan telah menunjukkan diri dan menjerit kenalkan diri sebagai polis ke arah suspek. Suspek terperanjat dan bertindak melarikan diri.

"Bagaimana pun, suspek berjaya ditahan walaupun berlaku pergelutan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhd Nurhishamuddin berkata, hasil pemeriksaan pada tubuh suspek menjumpai satu beg kecil di dalam poket seluar yang dipakainya.

Dadah dan barangan yang dirampas polis untuk tindakan lanjut.
Dadah dan barangan yang dirampas polis untuk tindakan lanjut.

"Dalam beg tersebut didapati lima peket lut sinar pelbagai saiz berisi serbuk dan ketulan-ketulan kecil disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 84.85 gram.

"Suspek seterusnya ditahan dan rampas barang kes yang dijumpai dengan nilai rampasan RM3,400 untuk diambil tindakan lanjut.

"Semakan rekod lampau terhadapnya pula, suspek mempunyai beberapa kes lampau melibatkan kes dadah dan keputusan ujian urin didapati positif dadah jenis morfin," katanya.

Katanya, kes ini kemudiannya disiasat di dalam Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta sama.